Lotte Chemical Titan Beri Biasiswa Kepada Enam Pelajar UKM dan 20 Pelajar Politeknik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 April 2019 –Yayasan Biasiswa Lotte di bawah naungan Lotte Group, Korea telah menyampaikan biasiswa kepada enam pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan masing-masing sepuluh pelajar dari Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) dan Politeknil Ibrahim Sultan (PIS).

Biasiswa itu telah disediakan dengan sokongan rakan strategik tempatan iaitu Lotte Chemical Titan Holding Berhad.

Pemilihan pelajar yang menerima biasiswa tersebut dibuat berdasarkan status kewangan keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang.

Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dr Ishak Yussof berkata, beliau percaya sumbangan itu akan memotivasi dan memberikan manfaat kepada pelajar, bukan sahaja untuk terus cemerlang dalam akademik, tetapi juga melalui pembangunan personaliti dan penglibatan dalam ko-kurikulum.

Pada majlis itu, Yayasan Biasiswa Lotte juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UKM, PTSN dan PIS.

Seorang pelajar yang menerima biasiswa tersebut, Yeap Shun Hua, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM berkata, beliau berterima kasih kepada Yayasan Biasiswa Lotte kerana telah membantu mereka dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar.

“Biasiswa yang diperoleh ini akan saya gunakan untuk membayar yuran dan kegunaan kecemasan yang lain. Pemberian ini adalah sangat bermakna untuk saya,” katanya.

Aisyah Musitar, pelajar Diploma dari Jabatan Rekabentuk Komunikasi dan Visual, PIS berkata, beliau akan terus berusaha untuk meperoleh keputusan cemerlang dalam pengajiannya.

“Biasiswa ini adalah semangat untuk saya terus belajar kerana ia akan banyak membantu saya dari segi kewangan,” katanya.

Pada majlis itu, enam pelajar dari UKM masing-masing menerima biasiswa berjumlah RM4000 untuk dua semester pengajian manaka 20 pelajar dari Politeknik pula masing-masing menerima RM2000 untuk dua semester pengajian.