Mahasiswa Baharu UKM Dapat Pendedahan Tentang Jenayah Rasuah
Oleh Rajan Munusamy
Foto Oleh PenMas SPRM
BANGI 11 September 2019 – Seramai 4,060 mahasiswa baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mendapat pendedahan awal berhubung isu integriti dan jenayah rasuah melalui program Slot Bersama SPRM yang diadakan bersempena dengan Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Sesi akademik 2019-2020.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Timbalan Pesuruhjaya Tuan Ruslan Tuan Mat berkata, matlamat utama program itu adalah untuk mendidik pelajar mengenai jenayah rasuah dan impaknya terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.
“Mahasiswa memainan peranan penting sebagai key communicator dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah kepada warga kampus,” katanya yang menyambut baik program tersebut.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim berkata, usaha itu penting bagi memastikan mahasiswa sentiasa cakna tentang kepentingan nilai integriti dan isu-isu rasuah dalam konteks diri seorang mahasiswa.
“Mahasiswa adalah aset dan pelapis pemimpin Negara. Kita mempunyai tanggungjawab untuk membentuk dan melahirkan bakal pemimpin yang dikenali dengan tinggi integritinya,” ujarnya.
Ketua Seksyen PenMas SPRM, Penolong Pesuruhjaya Suryani Ali yang merupakan pegawai penyelaras SPRM untuk program tersebut berharap mahasiawa dan anak muda Malaysia amnya akan menolak rasuah dan berpegang kepada prinsip tidak sekali-kali berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah.
Bagi pelajar Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Fakulti Pendidikan, Athirah Hanin Misbahudin, beliau teruja dengan perkongsian yang dibuat oleh SPRM dan beliau lebih memahami jenis-jenis kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009.
“Saya dapat belajar perkara yang paling penting iaitu bagaimana untuk mengelak sekiranya berhadapan dengan situasi ditawarkan rasuah,” katanya.
Abner Ravienash Abraham, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina menyatakan bahawa beliau baharu menyedari rasuah bukan hanya dalam bentuk wang tetapi ia boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti hadiah, jawatan, perkhidmatan dan lain-lain.
Program itu telah dijayakan bersama Pusat Hal-ehwal Pelajar UKM, Unit Integriti UKM, Kolej-Kolej kediaman serta Angkatan Mahasiswa Antirasuah UKM (AMAR) dan anggota SPRM Cawangan Universiti.
Slot Bersama SPRM telah berlangsung selama lima hari bermula pada 2 September hingga 6 September lalu di semua 12 Kolej Kediaman UKM meliputi Kampus Bangi dan Kampus Kuala Lumpur. Seramai 10 orang penceramah dari Bahagian PenMas Ibu Pejabat SPRM dan anggota dari Cawangan Universiti PenMas telah turun padang untuk mendekati mahasiswa UKM dan menjayakan program ini.