Mahasiswa Berperanan Penting dalam Menjayakan Agenda Nasional
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Mac 2021 – Golongan mahasiswa sains kesihatan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda nasional dalam memastikan penjagaan kesihatan dan keselamatan orang ramai terutamanya ketika berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, kata Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata mahasiswa perlu melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat dan peranan dalam menjayakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang disifatkan penting untuk mencapai imuniti kelompok mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berharap segala usaha dan inisiatif yang dilakukan dapat memberi implikasi yang positif kepada negara serta masyarakat.
“Justeru, diharapkan program ini dapat menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat dan kejayaan agenda nasional termasuk Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mencapai komuniti kelompok dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
“Ini adalah untuk memastikan rakyat terus sihat menerusi amalan penjagaan kesihatan serta aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Mahasiswa Sains Kesihatan Se-Malaysia (KOMSIS) yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Katanya, beliau yakin melalui konvensyen itu, mahasiswa dapat mengambil semua input dengan baik dan menjadikan ini satu peluang untuk menjadi seorang yang lebih berjaya pada masa akan datang.
“Kami (KKM) juga berharap, konvensyen ini mampu menjadi titik permulaan kerjasama mahasiswa sains kesihatan dari pelbagai universiti dengan warga profesional yang lain. Dengan ini, kita dapat merealisasikan Agenda Transformasi Negara.
“Jadikanlah program ini sebagai pemangkin kepada mahasiswa untuk membangunkan negara ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang kesihatan suatu hari nanti,” katanya.
KOMSIS 2021 adalah anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menjadi medan perkongsian ilmu sesama mahasiswa sains kesihatan seluruh Malaysia.
Konvensyen yang diadakan dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar sains kesihatan dari pelbagai universiti di Malaysia itu menjadi medium yang terbaik buat para mahasiswa untuk merancang kerjaya dan lebih memahami serta mengenali tentang profesion sains kesihatan.
Kira-kira 900 peserta yang terdiri daripada mahasiswa Sains Kesihatan di seluruh Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia menyertai konvensyen itu.
Turut hadir sama dalam konvensyen itu ialah Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Dekan FSK, Prof. Dr. Suzana Shahar.