Mahasiswa UKM Dinobat Sebagai Ratu Sari
By Tengku Nursharina Tengku Amri
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bhavithra A/P Subramaniam telah dinobatkan sebagai Ratu Sari 2016 pada majlis makan malam amal sempena ulangtahun ke-86 Persatuan India Melaka (MIA) yang berlangsung di Hotel Equatorial, Melaka baru-baru ini.
Bhavithra 22, dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata, beliau tidak menyangka akan memenangi tempat pertama antara 12 finalis yang bertanding, kerana ramai peserta yang berpotensi dan dirasakan lebih layak.
“Saya menyertai pertandingan Ratu Sari atas galakkan ibu bapa.
“Bapa saya yang membawa saya masuk ke pertandingan ini, malah sari yang saya peragakan juga di sediakan oleh ibu,” tambah beliau.
Menurut beliau itu adalah pengalaman pertamanya dalam bidang peragaan dan pertandingan tersebut secara tidak langsung membantunya meningkatkan keyakinan diri.
“Buat masa ini saya masih belum ada perancangan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang peragaan.
“Saya mahu fokus pada pelajaran terlebih dahulu memandangkan tahun ini adalah tahun akhir saya berada di UKM sebelum menerima ijazah pada tahun hadapan,” katanya.
Katanya beliau amat gembira kerana berpeluang menyertai pertandingan Ratu Sari dan bertanding bersama barisan professional yang lain.