Mahasiswa Universiti Awam Perlu Kuasai Bahasa Inggeris Tahap B2


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman dan Shahiddan Saidi

BANGI, 8 November 2017 – Semua mahasiswa di Universiti Awam (UA) perlu menguasai Bahasa Inggeris pada tahap B2 (bertutur dengan fasih) mengikut skala Common European Framework of References for Language (CEFR) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Sei Idris Jusoh berkata sasaran itu boleh dicapai kerana kementerian telah membangunkan Malaysia English Assessment (MEA) iaitu kaedah pentaksiran bahasa Inggeri baharu, yang telah dilaksanakan pada September lepas di semua UA.

“Sistem pentaksiran ini (MEA) diserap dalam kursus wajib bahasa Inggeris sedia ada, serta dilaksanakan mengikut kaedah universiti masing-masing selepas mendapat kelulusan Senat,” katanya pada Majlis Pelancaran MEA, di UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata MEA akan membawa anjakan paradigma dalam bidang pentaksiran bahasa Inggeris dan bakal mengubah sistem pendidikan tinggi di negara ini.

“Kami mensasarkan graduan kita untuk sekurang-kurangnya berada pada tahap B2. Ia adalah selari dengan piawaian CEFR yang diwajibkan kepada semua mahasiswa UA dalam menuju alam pekerjaan,” jelasnya.

Katanya MEA mengandungi dua komponen iaitu MEA 1 membabitkan pentaksiran berterusan bagi kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur.

Manakala MEA 2 merangkumi pentaksiran prestasi dalam situasi sebenar yang akan ditempuhi dalam alam pekerjaan melalui kurikulum tambahan dan kokurikulum, kolaborasi antara disiplin, sumber atas talian, pembabitan komuniti, kerjasama industri akademik, dan pembabitan global.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.