Mahasiswa Wajar Tanam Minat Terhadap Bidang Yang Dipilih
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 13 Oktober 2016 – Kunci kepada kejayaan dalam kerjaya adalah minat terhadap kursus yang diambil, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal.
Beliau berkata pelajar harus menanamkan minat dalam diri masing-masing terhadap kursus yang diambil bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.
“Selain dari minat, pelajar harus membuat analisa tentang bidang pekerjaan yang bakal diceburi bagi menentukan haluan setelah tamat belajar kelak,” katanya semasa meyampaikan ucapan pada majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Tahun Satu Fakulti Undang-Undang di sini baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, katanya kursus yang diambil semasa belajar tidak menghadkan bidang pekerjaan yang bakal diceburi.
“Contohnya di Fakulti Undang-Undang (FUU), ia bukan sahaja akan melahirkan peguam malah turut melahirkan ahli-ahli politik dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO),” katanya.
Beliau berkata pelajar wajar memantapkan kemahiran insaniah seperti cara berkomunikasi dengan baik dan menambahkan ilmu pengetahuan.
“Malah setiap ahli akademik akan membantu untuk memperkukuhkan kepakaran dan kelebihan pelajar bermula dari tahun satu hingga empat, yang mana peluang ini harus di gunakan sebaiknya oleh pelajar,” jelasnya.
Beliau menambah, selepas tamat belajar, pelajar perlu perlu mencabar diri untuk menambah pengetahuan tentang perundangan dan mengambil peluang untuk bekerja dengan syarikat perundangan selain berhak mendapat begitu banyak pengalaman sepanjang bekerja di sana.
“Sebagai seorang graduan muda, anda tidak boleh malu untuk bertanya dan menuntut ilmu daripada seseorang yang mempunyai pengalaman walaupun beliau hanya seorang kerani,” katanya.