Mahir Berpasukan Dan Insaniah Ciri Utama Majikan Cari Pada Graduan Universiti
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Ikhwan Hashim & Izwan Azman
BANGI, 8 April 2015 – Kerja berpasukan adalah di antara ciri-ciri utama yang majikan di sektor swasta mahukan dalam kakitangan mereka apabila memilih calon di kalangan para graduan universiti.
Ketua Pengarah Ekspo Kerjaya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2015 Nur Fatin Binti Mohamad Farid berkata di antara kriteria lain yang diperlukan oleh syarikat ialah, kemahiran komunikasi, pengalaman organisasi, mudah menyesuaikan diri dengan sekitaran baru, memiliki banyak kemahiran serta melakukan pelbagai tugas sekaligus.
Nur Fatin, seorang pelajar tahun 2 dari Fakulti Undang-Undang mengingatkan pelajar akan pentingnya kemahiran komunikasi serta kecerdikan dalam membangun hubungan.
Menurut beliau pada masa yang akan datang kita dituntut miliki kemampuan yang berbeza dari yang lain, dan ia boleh didapati melalui kerja-kerja amal dan pengalaman organisasi.
“Tidak guna kita mendapatkan PNGK 3.5 keatas tetapi menghiraukan program –program yang bersifat Amali; teori yang dipelajari dalam kuliah semestinya menjadi amalan dalam kehidupan sehari-hari ,” kata Nur Fatin.
Ekspo Kerjaya UKM 2015 yang melibatkan 40 syarikat swasta telah berjaya menemuduga 200 pelajar dari pelbagai universiti tempatan, bagi memudahkan usaha mencari pekerjaan bagi bakal graduan.
Kata beliau, Ekspo ini platform terbaik untuk bertemu dengan wakil industri dan bertanya mengenai bidang kerjaya yang ditawarkan melalui proses temuduga yang diadakan.
Selain itu ia dapat mengukuhkan hubungan antara institusi dan swasta sehingga tercipta suatu ruang tempat dimana industri boleh mempromosikan perniagaan mereka serta mencari bakat-bakat baru.
Ianya juga dapat membantu pelajar dalam merancang halatuju kerjaya, maka dengan itu pelajar dapat memastikan tempat dalam pasaran kerjaya.
Hari kerjaya UKM 2015 adalah program yang dianjurkan oleh Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Ibu Zain (KIZ) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Karier (UKM-KARIER) dan bahagian Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM.
Dengan membawa tema ‘Rebut Peluang, Capai Impian’ Hari Kerjaya UKM 2015 ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II Malaysia Dato’ Seri Idris Jusoh.
Ia telah berjaya membawa 40 Majikan/Industri ke UKM dan mensasarkan 6,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan graduan UKM serta universiti tempatan lain termasuk dari Pantai timur seperti Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaya.
Berlangsung selama dua hari – 7 hingga 8 April – ia telah dikendalikan sepenuhnya oleh 40 orang ahli jawatankuasa daripada pelajar UKM Kolej Ibu Zain.
Acara kali ini melibatkan 10 syarikat Multinasional Jepun seperti Honda Malaysia Sdn Bhd, Sony EMCS Malaysia Sdn Bhd, UMW Toyota Group, Hitachi, Denso, Toray, Panasonic, Hiro Food dan ROHM Wako.
Penaja utama bagi program ini adalah Maybank serta beberapa rakan industri seperti Jobstreet dan GTI Media.