Majalah INSAN Ketengah Isu Kesejahteraan Perubahan Persekitaran Akibat COVID-19
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 21 September 2021 – Majalah INSAN yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) adalah sebuah majalah yang mengetengahkan pelbagai isu kesejahteraan dalam perubahan persekitaran yang amat bersesuaian untuk bacaan umum.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata majalah yang berkonsepkan penulisan popular itu amat bermakna tatkala pandemik COVID-19 sedang melanda dunia pada hari ini.
“Berkonsepkan penulisan popular, majalah ini turut memperlihatkan bagaimana isu kesejahteraan insan amat dituntut bagi memastikan pemulihan secara konkrit dan komprehensif dalam pelbagai spektrum kehidupan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Majalah INSAN, di sini.
Bertemakan “Membugar Kesejahteraan dalam Ranjau Perubahan”, katanya, majalah INSAN mempamerkan kepada masyarakat tentang sumbangan dan tanggungjawab UKM terhadap isu kesejahteraan yang sedang melanda dunia.
“Bermula dengan topik mengurus sumber manusia dalam Industri 4.0, transformasi insan, kelestarian perniagaan, cabaran ekonomi sehinggalah kepada kepimpinan menuntut setiap insan melihat perubahan sebagai satu gaya kehidupan masa kini.
“Isu pandemik COVID-19 yang memahat sejarah hitam buat dunia sehinggalah kepada isu remaja dan kanak-kanak yang menjadi kebimbangan sejagat telah dirungkai dalam majalah ini bersesuaian untuk bacaan umum bagi memperlihatkan bagaimana jurang isu kesejahteraan insan membelenggu kehidupan masa kini,” katanya.
Sementara itu, Dekan FEP, Prof. Dr. Aini Aman berkata penerbitan itu kena dengan impak pandemik COVID-19 yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan kehidupan manusia.
“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, penerbitan bahan yang tidak terlalu bersifat akademik seperti ini penting kerana ia akan merapatkan lagi kerjasama hubungan pihak UKM bersama pihak komuniti, masyarakat, dan industri.
“Penulisan santai yang terhasil daripada penyelidikan yang mengikut kaedah dan metodologi yang tersendiri, kadang kala lebih dapat memberi kesan langsung kepada masyarakat untuk mengambil manfaat.
“Saya juga menaruh keyakinan dengan kemampuan ahli penyelidik dari FEP dengan kerjasama warga penyelidik yang merentas bidang dan fakulti akan dapat menghasilkan formula penyelesaian kepada isu-isu kemanusian yang berkait seperti kemurungan, stress, konflik, tekanan perasaan dan sebagainya,” katanya.
Artikel yang termuat dalam isu sulung Majalah INSAN adalah berdasarkan pengalaman penulis sebagai ahli akademik dan juga berlandaskan penyelidikan saintifik. Setiap artikel yang disumbangkan telah melalui proses pewasitan oleh penilai yang dilantik berdasarkan bidang kepakaran mereka.