Majlis Sanjungan Budi Raikan Pesara UKM
Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 2 Januari 2020 – Para pesara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terdiri daripada 75 orang pegawai dan kakitangan UKM telah diraikan dalam satu Majlis Sanjungan Budi di Hotel Puri Pujangga baru-baru ini.
Majlis itu dianjurkan sebagai tanda ingatan dan pengiktirafan kepada para pesara terhadap sumbangan dan curahan khidmat bakti mereka ke arah perkembangan dan kemajuan UKM.
Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, persaraan bukanlah garisan penamat tetapi sebaliknya memberi ruang waktu kepada mereka untuk melaksanakan program atau apa juga aktiviti yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana keterbatasan waktu bertugas.
Katanya, pesara UKM juga digalakkan menyertai Persatuan Pesara UKM untuk terus mendapat keistimewaan dengan penggunaan Kad Pesara UKM yang telah diperluaskan skop penggunaanya.
Justeru itu. para pesara dapat menikmati kemudahan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri serta mendapatkan kemudahan perkhidmatan di Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Perpustakaan Cabang UKM, katanya.
Beliau menambah, pesara juga layak mendapatkan perkhidmatan dan diskaun di Poliklinik UKM Kesihatan serta dibenarkan menggunakan dewan UKM dan kemudahan penginapan di Pusat Latihan Tanjung Karang serta Pusat Penyelidikan Tasik Chini.
“Majlis ini juga menjadi satu titik tolak kepada hubungan yang lebih erat diantara UKM dan para pesara. Pastinya segala sumbangan dan komitmen yang telah diberikan kepada UKM tidak terhitung dengan wang ringgit.
“UKM sentiasa mengalu-alukan segala sumbangan para pesara dalam meningkatkan lagi kecemerlangan universiti ini,”jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (TNC) (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim dan TNC (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah.