Malam Citra Seni UKM ‘15 Pesona Penonton dari Indonesia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 25 Mei 2015 – Malam Citra Seni UKM ’15 yang dijayakan oleh pelajar-pelajar Citra Seni telah memukau penonton yang membanjiri Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) termasuk rombongan dari Institut Seni Bandung (ISB) yang dalam lawatan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama tiga hari bermula 15 Mei lepas.
Pegawai Perhubungan Awam ISB, Iin Rizky berkata persembahan kebudayaan yang dibawakan oleh pelajar-pelajar UKM sangat semarak dan harmoni dengan mengetengahkan pelbagai adat, budaya dan bangsa di Malaysia.
“Kita dapat lihat dengan jelas kekentalan budaya Melayu dari setiap persembahan yang ditayangkan. Banyak strategi yang digunakan dalam persembahan tersebut bagi mempertahankan budaya Melayu,” katanya kepada Portal Berita UKM selepas majlis tersebut yang diadakan pada 16 Mei lepas.
Katanya para pelajar dapat mempersembahkan budaya seni Malaysia dengan baik sekali dan kelebihan serta kekurangan yang ada dalam persembahan itu saling melengkapi.
“Kita sama-sama belajar. Di ISB juga kami memang mengetengahkan budaya seni Indonesia kerana kita lihat sejak kebelakangan ini, seni Indonesia sudah berpecah belah dan semakin terhapus. Jadi jika ada program seperti ini, ia dapat mengembalikan kembali budaya seni bagi kedua-dua negara,” katanya.
Pada malam itu, ISB turut mempersembahkan dua tarian iaitu tarian Merak dan Jaipong Tablo serta turut memperagakan pakaian tradisional negara tersebut.
“Kita telah membawa lapan jenis pakaian tradisional masyarakat Indonesia dan pakaian-pakaian itu telah diperagakan oleh pelajar-pelajar UKM. Melalui itu, kita dapat lihat betapa eratnya hubungan antara dua negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek Malam Citra Seni, Nursyamimi Syahira Saripan yang merupakan pelajar tahun satu dari jurusan Media dan Komunikasi berkata sebanyak 30 persembahan telah dijayakan oleh para pelajar tahun satu hingga tahun tiga bagi melengkapkan kursus citra masing-masing.
“Kita telah memulakan program ini selama tiga hari iaitu bermula dengan persembahan teater Bangsawan dan seni lakon yang diadakan pada 14 Mei lepas, diikuti dengan demonstrasi silat pada 15 Mei dan malam ini adalah malam kemuncak Citra Seni,” katanya.
“Ini adalah acara setiap semester. Semua pelajar telah memberi kerjasama yang baik kerana persembahan-persembahan ini dinilai untuk kursus Citra masing-masing. Kami telah membuat persediaan selama sebulan bagi memastikan majlis malam ini berjalan lancar,” katanya.
Selain itu, pameran daripada pelajar Citra Seni Tampak iaitu lukisan, arca dan seni khat turut dipamerkan di hadapan DECTAR.
Tiga puluh persembahan yang dilangsungkan malam ini termasuklah Seni Tari Rakyat, Seni Tari Klasik India, Seni Tari Gamelan, Nasyid, Muzik Keroncong, Kertuk dan Rebana Ubi, Kompang, Caklempong dan Angklung.
Majlis yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang itu telah dihadiri oleh Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ir Dato’ Dr Othman A Karim dan Pengarah Pusat Kebudayaan, Drs Rafie Mohammad bersama 26 delegasi dari ISB.