Malaysia Belum Bersedia Laksanakan Hudud – Bicara Persada
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
Bangi, 8 April 2015 – Malaysia belum bersedia melaksanakan Hudud kerana masih terdapat beberapa perkara yang timbul walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau Hudud pada 19 Mac lepas.
Mantan Ketua Hakim Negara merangkap Prof Adjung Institut Islam Hadari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Abdul Hamid Mohamad berkata sebahagian daripada Enakmen Hudud Kelantan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Untuk mengatasinya, mereka (kerajaan negeri Kelantan) bercadang untuk meminta Parlimen membenarkan Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat undang-undang bagi kesalahan itu dan mengenakan hukuman Hudud ke atasnya,” katanya pada Majlis Bicara Persada UKM bertajuk ‘Pelaksanaan Hudud: Peluang dan Cabaran’ di Persada Canselori di sini hari ini.
Menurut Tun Hamid jika Hudud dilaksanakan, ia mestilah digunakan terhadap semua orang – Islam dan bukan Islam – kerana ia adalah undang-undang jenayah persekutuan dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri.
“Jika tidak, ia tak keperlembagaan (unconstitutional) kerana bercanggah dengan Perkara 8 (Perlembagaan Persekutuan) dan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa membicarakan kes-kes itu adalah Mahkamah Sivil kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri,” katanya.
Beliau menegaskan masyarakat masih keliru antara hukum dan pelaksanaan Hudud.
“Kita mesti membezakan antara perbincangan mengenai hukum dengan perbincangan mengenai pelaksanaan. Apa yang kita bincangkan sekarang ialah tentang pelaksanaan, bukan kita persoalkan hukum,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa yang turut menjadi ahli panel dalam forum tersebut berkata cabaran yang paling utama untuk laksanakan Hudud adalah cabaran promosi.
“Cara kita promosi undang-undang ini adalah salah. Kenapa kita promosikan Hudud sedangkan ini adalah Undang-undang Jenayah Syariah 1993 dan Hudud adalah komponen kecil yang ada dalam undang-undang tersebut,” katanya.
Beliau berkata tidak ada mana-mana negara yang menggunakan istilah Hudud walaupun mengambil pendirian yang paling ekstrem untuk laksanakan Hudud.
“Bagaimana kita nak memahamkan orang tentang Hudud? Adakah kita berada dalam suasana yang kondusif untuk laksanakan Hudud sedangkan sekarang ini kadar jenayah di negara kita semakin meningkat,” katanya.
Bagi Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, Dr Mohd Idzhar Ariff Mohd Kashim, beliau berkata Malaysia perlukan suasana yang kondusif untuk melaksanakan Hudud.
“Keadaan masih belum kondusif untuk laksanakan Hudud kerana rakyat semakin miskin dan kecurian akan meningkat. Kita tak mahu umat Islam dipotong tangan kerana mencuri akibat kemiskinan. Kita kena perbaiki dan perlukan suasana yang kondusif untuk laksanakan Hudud yang hebat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan dalam Mahkamah Syariah supaya pelaksanaan Hudud dapat dibuat.
Forum tersebut dipengerusikan oleh pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mustar.