Malaysia dan Indonesia Perlu Gembleng Tenaga Sebagai Rakan Serumpun – Datuk Ahmad Amzad
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 1 November 2021 – Dalam mendepani dan menangani ketidaktentuan global kini, Malaysia dan Indonesia perlu menggembleng tenaga sebagai rakan serumpun menerusi gagasan ASEAN, kata Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Beliau berkata dalam situasi yang mencabar ini, Malaysia dan Indonesia perlu meningkat dan memperkukuh kerjasama berdasarkan semangat ASEAN merentasi semua bidang termasuk penyelidikan.
“Perkongsian kemakmuran secara kolektif dan inklusif hanya dapat direalisiasikan apabila segala ketidaktentuan kesan Covid-19 ditangani secara efektif.
“Memastikan ekonomi kedua-dua negara kembali berada dilandasan yang betul adalah langkah yang sukar tetapi tidak mustahil sekiranya kedua-dua negara serumpun mengenepikan segala perbezaan pendapatan dan mencari titik persamaan atas semangat ASEAN,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Persidangan Antarabangsa Ekonomi, Pengurusan Dan Perakaunan Malaysia-Indonesia Ke-21 (MIICEMA Ke-21), yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat tiga aspek penting dalam merealisasikan matlamat integrasi ASEAN demi perkongsian kemakmuran bersama khususnya antara Malaysia dan Indonesia.
“Pertama, kita mesti memperkukuhkan paradigma kolaborasi dan kerjasama. Kedua, kita mesti pulih bersama, dan ketiga, kita mesti menetapkan visi kita untuk kerjasama masa depan,” katanya.
Beliau berkata untuk menambah momentum integrasi itu, kedua-dua negara mesti menghubungkan kembali ekonomi dan perniagaan dengan menggunakan semua sumber yang dimilik dari Perjanjian Perdagangan Bebas ke koridor perniagaan penting.
“Malaysia dan Indonesia juga perlu mendorong wakil-wakil perniagaan dari kedua negara untuk meneroka potensi untuk memperkukuhkan penglibatan ekonomi antara Malaysia, Indonesia dan negara ASEAN lain.
“Selain itu, kedua-dua negara mesti selalu memilih kerjasama daripada persaingan, dialog berbanding persaingan, kerjasama menang-menang berbanding zero-sum game,” katanya.
Malaysia, Indonesia dan ASEAN kini memasuki usia 54 tahun, satu sejarah yang cukup lama.
ASEAN antara lain adalah merupakan kesatuan ekonomi yang bermatlamat memupuk daya saing dan integrasi ekonomi yang kukuh dalam perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota.
Persidangan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengursan itu turut menampilkan Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UKM, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar sebagai pengucaptama.
MIICEMA Ke-21 turut disertai oleh 29 buah universiti dari Indonesia.