Malaysia – European Union Teroka Lebih Banyak Usaha Ke Arah Pembangunan Mampan


Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 17 Januari 2023 – Malaysia dan European Union (EU) telah menjalin pelbagai projek kerjasama ke arah pembangunan mampan yang memberi impak kepada negara ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata Malaysia dan EU mempunyai kebimbangan serius mengenai pembangunan mampan.

“EU menggalakkan pertumbuhan hijau dengan mempromosi amalan lestari yang memelihara biodiversiti, pengurangan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti hidup”, katanya pada Program Global Talk Series: EU@UKM: Better and Greener Future for All anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa.

Tambahnya, hubungan Malaysia dan EU bertepatan dengan 17 Matlamat Pembanguan Mampan kerana di UKM warganya sentiasa konsisten bagi usaha melaksanakan SDG di kampus.

Sementara itu, Duta Besar Romania ke Malaysia, Mrs. Nineta Barbulescu berkata pihaknya juga sedang membincangkan apa sahaja ruang dan peluang yang ada untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan EU khususnya melibatkan UKM.

Sesi perkongsian ini diadakan sebagai salah satu langkah pendedahan kepada belia terhadap isu terkini berkenaan pemahaman, kepentingan dan praktis Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.