Masyarakat Dunia Hadapi 3 Cabaran Utama: Geopolitik, Ekonomi dan Iklim – SBY
Oleh Asmahanim Amir dan Nur Aisyah Mohamed Rizal
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 17 Ogos 2022 – Presiden Indonesia ke-6, Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan bahawa dunia kini menghadapi sekurang-kurangnya tiga bidang utama yang memberikan cabaran kepada masyarakat antarabangsa iaitu geopolitik, ekonomi dan iklim.
Beliau yang dikenali dengan gelaran SBY berkata dunia sedang memasuki era baharu iaitu persaingan kuasa besar, yang dipanggil keadaan kemelesetan geopolitik.
“Hubungan antara kuasa besar dicemari dengan konflik yang semakin sengit, persaingan, ketidakamanan dan ketidakpercayaan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata kepercayaan strategik itu tidak terbentuk dalam tempoh semalaman, tetapi mengambil masa iaitu usaha daripada siri pertemuan, rundingan serta pengalaman bersama bagi membentuk persefahaman.
“Sudah semestinya kepercayaan strategik itu tidak terjadi dalam sekelip mata, ia memakan masa dan usaha kerana kepercayaan strategik berkembang daripada usaha membina keyakinan yang berterusan dan kejayaan dalam mengurus atau menyelesaikan konflik,” kata beliau.
Beliau berkata demikian Ketika menyampaikan Ucaptama DiRaja pada Majlis Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-5 yang bertajuk A Better World is Possible (memungkinkan dunia yang lebih baik) di sini.
Turut berangkat pada syarahan itu adalah DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Pro-Canselor UKM, Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermano, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak dan Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.
Prof. Dr. Susilo berkata ASEAN perlu menjalankan peranan aktif sebagai satu kumpulan, kerana jumlah populasi 662 juta penduduk di 10 negara ASEAN itu menyediakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai 3.2 trilion, sekali gus menjadikannya ekonomi kelima terbesar dunia.
“Oleh itu, saya berpendapat, pengaruh dan kapasiti ASEAN dalam bertindak balas saingan kuasa utama di rantau kita adalah lebih baik daripada beberapa dekad yang lalu, tetapi kemelesetan geopolitik memberikan satu lagi cabaran kepada ASEAN pada tahun ini,” katanya.
Justeru, beliau berkata adalah penting bagi pemimpin negara ASEAN mengukuhkan kerjasama yang baik demi memastikan keamanan, kestabilan dan kerjasama dapat ditambah baik.
“Semakin banyak usaha kuasa utama dalam menangani cabaran tersebut, semakin banyak manfaat keamanan yang diperoleh di rantau. Ini kerana dunia yang didiami ini menghadapi cabaran kompleks, kemelesetan geopolitik, isu keselamatan antarabangsa masalah ekonomi, dan pelbagai komplikasi alam sekitar,” katanya.