Masyarakat Tidak Patuh SOP Punca Peningkatan Kes COVID-19 di Malaysia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
CHERAS, 29 September 2020 – Peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini adalah berpunca daripada kelalaian masyarakat yang tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon.
Beliau berkata, jika masyarakat patuh dan sentiasa mengamalkan penjagaan diri, graf jangkitan COVID-19 di Malaysia yang telah menunjukkan penurunan akan dapat dilandaikan.
“Sebagai contoh, kes yang berlaku di Kedah yang melibatkan petugas sebuah pusat perubatan adalah disebabkan oleh kelalain petugas tersebut dalam mematuhi SOP. Ia berlaku apabila petugas perubatan itu tidak memakai face mask (pelitup muka) semasa berhadapan dengan pesakit dan juga berhadapan dengan petugas lain.
“Sepatutnya mereka perlu sentiasa memakai face mask, sama seperti mereka mengendalikan pesakit COVID, walaupun pesakit itu bukan pesakit COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan di Majlis Bicara Bersama Datuk Dr. Rohaizat Yon yang bertajuk Holistic Preparedness and Experience in Controlling COVID-19: Including Managing Fake News yang diadakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM hari ini.
Beliau berkata, jika kes jangkitan terus meningkat ke tiga angka dan jumlah kes aktif terus meningkat setiap hari, tidak mustahil lock down akan dilaksanakan semula di Malaysia.
“Kita perlu ambil iktibar dengan apa yang berlaku di New Zealand dan Australia. Negara mereka terpaksa di lock down semula kerana kes aktif yang sentiasa meningkat saban hari.
“Kita tidak mahu jadi macam negara-negara tersebut kerana impaknya sangat besar terutamanya kepada rakyat yang kurang berkemampuan. Selain itu, ekonomi negara juga akan terjejas teruk,” katanya.
Datuk Dr. Rohaizat berkata, KKM telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan menghantar petugas kesihatan di Semenanjung Malaysia ke kawasan berisiko seperti Kedah dan terbaharu ke Negeri Sabah.
“Petugas di belakang tabir juga memainkan peranan yang sangat penting dalam penyediaan data dan info grafik. Data-data inilah yang kita gunakan untuk disampaikan kepada masyarakat secara harian melalui sidang media mahupun media sosial bagi membolehkan masyakat tahu kes jangkitan di Malaysia dan antabangsa,” ujarnya.
Katanya, kepimpinan dalam krisis adalah penting kerana COVID-19 bukannya ribut, sebaliknya ia adalah tsunami dunia.
“Kita tidak boleh berada pada zon selesa kerana COVID-19 ada di mana-mana. Sekiranya kita alpa, kluster baharu akan muncul. Apabila ini berlaku, kita (rakyat) akan merana, healthcare workers akan terseksa, negara akan menjadi papa kedana.
“Dalam keadaan sekarang ini, kita hanya ada tiga ‘vaksin’ sahaja iaitu face mask, hand sanitizer dan penjarakkan fizikal. Semoga kita akan berjumpa dengan vaksin yang perkasa bagi merawat penyakit ini,” katanya.
Datuk Dr. Rohaizat adalah Alumni Fakulti Perubatan UKM pada 1985 dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perancangan Kesihatan daripada University of New South Wales pada tahun 1991 sebelum ditauliahkan Doktor Falsafah dalam bidang Kesihatan Awam/Ekonomi Kesihatan dari UKM pada tahun 2007.