Minat dan Tanggungjawab Ciri Yang Perlu Dimiliki Pensyarah – Tan Sri Dr Anuwar
Oleh Nadia Sapuan
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 19 April 2017 – Ahli akademik yang bagus perlu memiliki rasa tanggungjawab disamping semangat dan minat yang tinggi terhadap kerjaya sebagai seorang pendidik.
Penasihat Kanan Open University Malaysia (OUM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali berkata sebagai pendidik, pensyarah atau profesor memiliki tanggungjawab yang tinggi kerana mereka adalah role model kepada pelajar.
“Di samping itu, kita perlu sering bertanya pada diri kita, adakah kita melahirkan peguam, doktor mahupun akauntan yang baik? Dengan cara itu, kita dapat melihat kekurangan dan kelebihan dalam pengajaran kita,” katanya.
Beliau berkata sebagai role model kepada pelajar, setiap pensyarah perlu cuba bergaul dengan pelajar dan berkongsi nilai kerjasama bersama pelajar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena program Bicara Akademik Fakulti Undang-Undang yang bertajuk Kecemerlangan Akademik.
Turut hadir ialah Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof Dr Zinatul Ashiqin Zainol.