Misi Bantuan Banjir: UKM Sumbang RM700 Ribu, Sukarelawan Bantu Mangsa
Oleh: Mohamad Salleh Sulieman
Foto: Ikhwan Hashim
BANGI, 3 Januari 2022- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyalurkan sumbangan sebanyak RM700 ribu kepada mangsa banjir serta menghulurkan bantuan sukarelawan di beberapa kawasan di Selangor yang terkesan akibat banjir dalam Misi Bantuan Banjir UKM baru-baru ini.
Hasil sumbangan yang diperolehi daripada pelbagai agensi kerajaan, alumni, dan beberapa pihak luar itu telah diserahkan kepada mangsa banjir sepanjang tempoh 14 hari misi tersebut.
Lebih 2000 sukarelawan UKM yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar menghulurkan bantuan samada di kediaman mangsa banjir atau di pusat pelepasan berikutan hujan lebat yang melanda negara pada 18 Disember 2021.
Kawasan yang terlibat dalam misi berkenaan ialah Salak Tinggi, Hulu Langat, Dengkil, Gombak, Klang, Shah Alam, Hulu Selangor, Banting, Kuala Langat, dan Kuala Selangor.
Selain itu, sukarelawan UKM juga turun padang di Jelebu dan Mantin di Negeri Sembilan, Temerloh, Pahang dan Yan, Kedah.
Naib Canselor UKM YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, mengulas Misi Bantuan Banjir UKM dengan lebih lanjut:
“Saya bersyukur kerana kita berjaya mengumpul sumbangan berbentuk wang ringgit dalam masa yang cepat dan pantas kerana dalam situasi yang meruncing seperti ini, mangsa banjir amat memerlukan bantuan kita dengan segera.
“Saya juga berterima kasih kepada semua bahagian di UKM terutamanya Alumni UKM dan Hal Ehwal Pelajar UKM yang telah menggerakkan misi ini dengan jayanya.
“Pada masa yang sama, saya tidak akan lupakan budi dan jasa penderma yang terdiri dalam kalangan agensi kerajaan, alumni, kakitangan, pelajar, serta orang ramai yang amat prihatin dengan keadaan mangsa banjir.”
Menurutnya juga sumbangan wang ringgit serta bantuan yang dihulurkan oleh sukarelawan kepada mangsa banjir membuktikan UKM memainkan peranannya sebagai sebuah universiti watan.
“Sebagai sebuah universiti watan, UKM amat prihatin dengan keperluan komuniti di sekitar dan juga di seluruh negara dan jika berlaku bencana alam seperti ini, UKM akan memberikan bantuan kepada yang amat memerlukan dengan segera.
Lebih menarik lagi, misi ini turut disertai oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turun di beberapa lokasi bagi membantu masyarakat dan menghulurkan sumbangan.
Beberapa wakil pengurusan tertinggi UKM seperti Timbalan Naib Canselor JIAM, Prof. Dato’ Dr. Norazah Nordin dan Pengarah HEP, Prof. Madya. Dr. Roslee Rajikan, turut terlibat sebagai sukarelawan dalam misi bantuan banjir tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir.