Misi Bantuan Kasih 3.0 Bantu Masyarakat Bangi dan Dengkil
Gambar dan Berita oleh Pusat Perhubungan Alumni
BANGI, 5 Mac 2021 – Skuad Misi Bantuan Kasih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan lagi Misi Bantuan Kasih 3.0 di dua lokasi berhampiran universiti itu iaitu di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi dan Kampung Sungai Buah, Dengkil.
Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman, dalam tempoh dua bulan ini, sebanyak RM80,000 berjaya dikumpulkan bagi mengerakkan misi bantuan kasih.
“Tujuan utama bantuan kasih 3.0 adalah untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat banjir dan juga penularan COVID-19. Bantuan kasih ini bermula di Kelantan, kemudian ke Pahang dan kini di Selangor.
“UKM adalah universiti watan kita, ia bermula dari masyarakat dan kepada masyarakat juga manfaat akan dikembalikan. Misi Bantuan Kasih adalah bukti bahawa UKM adalah sebuah universiti yang merakyatkan khidmat dan baktinya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata Misi Bantuan Kasih merupakan satu tanda betapa prihatinnya warga dan alumni UKM terhadap kesusahan yang dihadapi masyarakat umumnya.
“Melalui misi ini, UKM akan sentiasa tersemat di hati masyarakat, dan mereka bukan mengenali UKM sekadar sebagai sebuah gedung ilmu, tetapi sebagai sebuah universiti yang sangat prihatin kepada masyarakat di sekitarnya.
“Gandingan utuh antara warga dan alumni adalah bukti kejayaan bagi setiap misi yang dianjurkan. Setinggi penghargaan juga diberikan kepada barisan sukarelawan misi yang terdiri dari warga dan alumni UKM yang sentiasa menunjukkan komitmen yang baik dari awal hingga selesai misi bantuan ini,” katanya.
Sebanyak 300 bakul keperluan harian berjaya diagihkan kepada golongan B40 yang terdiri dari ibu tunggal, warga emas,Orang Kurang Upaya (OKU) dan masyarakat orang asli.