MoA UKM – MAINS Fokus kepada Penyelidikan Pengaruh Media Sosial terhadap Remaja


Oleh Nurhairani Sham Lahmuddin
Foto oleh
Shahiddan Saidi

BANGI, 16 September 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Perjanjian Penyelidikan (MoA) bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi menjalankan penyelidikan berkaitan pengaruh media sosial terhadap gejala kemurungan, stress dan trait introvert dalam kalangan remaja.

Kerjasama itu juga dibuat bagi membangunkan model dan modul intervensi berdasarkan kerangka psikologi Islam.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad dalam ucapannya berkata penyelidikan seperti itu wajar dilakukan dalam era pandemik COVID-19 di mana semua lapisan masyarakat termasuk golongan remaja terkesan khususnya dari aspek psikologi dan emosi.

“Kecanggihan teknologi serta kuasa media sosial juga dilihat antara penyumbang pada tekanan serta masalah depresi terutamanya dalam kalangan remaja.

“Maka kajian yang dilaksanakan oleh pasukan UKM dan MAINS ini amat bertepatan dalam kita menangani isu semasa yang semakin membimbangkan ini,” katanya.

Beliau berkata penyelidikan tersebut relevan dengan penubuhan UKM sebagai universiti watan yang berperanan untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakatnya.

Sementara itu, Pengerusi MAINS, Dato’ Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir menyampaikan penghargaan kepada UKM kerana menjalinkan kerjasama dengan MAINS setelah sekian lama diusahakan dengan beberapa mesyuarat susulan.

Katanya, pihak MAINS sentiasa beraspirasi untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan lagi kemahiran serta kemajuan demi memperkasakan syariat Islam di Negeri Sembilan.

“Saya amat menghargai komitmen yang diberikan oleh pihak UKM melalui Institut Islam Hadhari dalam menjalankan kajian ini, yang juga akan digunakan oleh Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan, Jabatan Zakat MAINS untuk merangka program kaunseling dan pendekatan yang sesuai dengan golongan sasar di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar usaha dan strategi yang dijalankan itu dapat diteruskan lagi dimasa akan datang supaya ianya memberi manfaat dalam pembangunan modal insan.

MoA yang diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom itu telah ditandatangi Prof. Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab yang mewakili UKM dan Dato’ Dr. Abdul Aziz  mewakili MAINS serta disaksikan oleh Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof. Dr. Fariza Md. Sham dan Setiausaha MAINS, Ahmad Husaini Mustafa.