MoU UKM dan Sunway Healthcare Sedia Pembelajaran dan Latihan Klinikal Berkualiti Tinggi
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
CHERAS, 4 Julai 2022 – Kerjasama yang terjalin antara Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd. (Sunway Healthcare) adalah satu usaha dalam menyediakan pembelajaran dan latihan klinikal yang berkualiti tinggi.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata kolaborasi antara kedua-dua institusi itu akan menghasilkan lebih banyak inisiatif penyelidikan bersama yang menjana sinergi baharu, pembangunan kakitangan melalui latihan dan penambahan nilai akademik.
“Kerjasama dalam kalangan pakar-pakar perubatan ini bakal menambah baik dan mengembangkan sumber inovasi, penyebaran ilmu, dan pembangunan modal insan serta membolehkan kedua-dua pihak mencapai tahap yang lebih tinggi dalam memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Sunway Healthcare di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata dalam mengatasi masalah kesihatan dalam era Revolusi Perindustrian Keempat, negara perlu ada pakar dalam bidang berkaitan agar dapat memanfaatkan ketersediaan internet berkelajuan tinggi, Big Data, dan bantuan perubatani yang akan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.
“Perubatan pencegahan dan bantuan perubatan dapat membantu dalam mengekalkan gaya hidup sihat, dan ini adalah frontier yang perlu diteroka bersama oleh pakar dan penyelidik dari UKM dan Sunway Healthcare,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Healthcare, Dato’ Lau Beng Long berkata MoU itu adalah kerjasama yang baik antara hospital swasta dan hospital kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kami akan menghantar doktor-doktor muda menjalani latihan di sini (Fakulti Perubatan) bagi memastikan perkhidmatan perubatan yang kami sediakan bertambah baik,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menghantar penyelidik klinikal mereka ke UKM bagi mendapatkan latihan yang bersesuaian.
“Kami berharap hubungan antara UKM dan Sunway Healthcare akan lebih panjang dan membuahkan hasil yang lebih baik,” katanya.