Mulakan Amalan Kampus Lestari Di Kolej Kediaman
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Izwan Azman
BANGI, 18 Mei 2015 – Pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harus mempunyai budaya Kampus Lestari yang bermula dengan kolej kediaman mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata melaksanakan kampus Lestari dengan sukarela adalah cara mudah membiasakan diri dan patut dilakukan bersama-sama oleh penghuni kolej.
Berucap merasmikan Konvensyen Kampus Lestari 2015 (KKL2015) di sini pada 25 April lalu, Prof Mazlin berkata kampus lestari yang diamalkan dalam setiap kampus sebaik-baiknya dimulakan pelajar kerana ianya dapat memberi impak yang besar.
Beliau berkata negara membangun seperti Malaysia perlu tingkatkan pembangunan yang berteraskan lingkungan yang hijau dan lestari .
Katanya pelajar berkenaan harus berkongsi idea untuk memberi input kepada kaedah yang sesuai dalam amalan kelestarian di kampus masing-masing.
KKL2015 merupakan platform pertemuan wakil-wakil institut pengajian tinggi bertukar pendapat untuk memberi penyelesaian mengenai kaedah yang sesuai dalam amalan kelestarian di kampus masing-masing.
Turut hadir pada program ini Pengarah Institut Alam Sekitar Dan Pembangunan (LESTARI) UKM Prof Mohd Raihan Taha.
Kata Prof Mazlin lagi, cara berfikir untuk membawa perubahan perlu ditanamkan pada peringkat remaja lagi kerana jika dilambatkan ia akan menjadi sulit pada masa depan.
“Cara hidup kita masih sangat jauh daripada lestari. Kita dapat lihat daripada hal kecil misalannya pembaziran air dan membuang sampah dengan sesuka hati bukan pada tempatnya,” beliau jelaskan.
Program KKL 2015 yang bertemakan ‘Kampus lestari cerminan inovasi mahasiswa’ bertujuan memupuk dan mengukuhkan kesedaran memelihara dan memulihara alam sekitar.
Ia juga bermatlamat mendedahkan kepada pelajar pendekatan berguna terkini tentang pengurusan lestari dan mempertingkatkan usaha universiti dalam melestarikan kampus, serta menggalakkan interaksi mereka dengan pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam perkongsian maklumat dan ilmu.
Program ini juga dimeriahkan dengan ceramah, pertandingan poster inisiatif kelestarian dan pameran inovasi hijau.
Program anjuran LESTARI dan Kolej Ibu Zain ini berjaya menarik pelajar-pelajar dari 14 universiti pengajian tinggi awam dan swasta, pegawai-pegawai agensi kerajaan, swasta dan NGO, serta tenaga pengajar dan pegawai-pegawai universiti.