Naib Canselor Bentang Kejayaan UKM di Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
SHAH ALAM, 20 Ogos 2022 – Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman diberi pengiktirafan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi mempromosikan dan membentangkan kejayaan-kejayaan Universiti UKM dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bagi slot Universiti Watan Kita.
Dalam pembentangan itu, beliau telah menyoroti sejarah penubuhan UKM yang ditubuhkan sejak 53 tahun lalu bagi membangunkan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah universiti yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Selepas 53 tahun ditubuhkan, UKM berbangga kerana kerajaan telah melantik UKM sebagai sekretariat bagi memartabatkan Bahasa Melayu di persada dunia. Tetapi kita tidak mengenepikan bahasa-bahasa lain. Kita sentiasa memastikan bahawa Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Arab terus dimartabatkan seiring dengan kemajuan dan pembangunan negara.
“UKM adalah universiti yang memartabatkan Bahasa Melayu, tetapi para penyelidik kita sentiasa dirujuk di seluruh dunia. Walaupun mereka menjalankan penyelidikan dalam Bahasa Melayu, tetapi mereka juga sangat pakar dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Inilah yang kita mahukan, Basaha Melayu dan Bahasa Inggeris adalah seiring,” katanya.
Selain itu, katanya UKM juga adalah satu-satunya universiti yang mempunyai dua buah hospital pembelajaran iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani; Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK).
Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata UKM juga sentiasa menjadi tulang belakang dalam membantu kerajaan menyantuni masyarakat termasuk masyarakat di kawasan luar bandar.
“Semasa pandemik COVID-19 melanda dunia, UKM adalah antara universiti terkehadapan dalam membantu kerajaan memberi vaksinasi kepada masyarakat. Kita telah memberi hampir 400,000 suntikan vaksin kepada rakyat melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Gemilan, PPV Pandu Lalu di HPKK dan PPV bergerak.
“Melalui PPV bergerak, pasukan kesihatan kita pergi ke pelosok kampung untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk yang sukar untuk keluar, terutamanya golongan warga emas,” katanya.
Ujar beliau, UKM adalah antara penerima pertama universiti yang mendapat pengiktirafan apel.q iaitu kurus yang ditawarkan kepada individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk mendapatkan kelayakan akademik bagi program yang dimohon.
“Program yang terlibat dengan apel.q ialah program Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri (Fakulti Sains dan Teknologi), Sarjana Keselamatan Siber (Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat) dan beberapa program lain,” katanya.
Selaras dengan aspirasi kerajaan dan KPT prihatin, beliau berkata UKM sentiasa memastikan bahawa university itu adalah releven kepada semua.
“Antara inisiatif UKM sebagai Universiti Watan adalam menyediakan pelbagai bantuan termasuk menyediakan makanan berkhasiat kepada pelajar-pelajar dgn harga RM3.50 sepinggan. Selain itu, kita juga beri sumbangan komputer dan bantuan zakat kepada pelajar-pelajar dari golongan B40 dan pelajar-pelajar yang memerlukan,” katanya.
“Jadikan UKM sebagai pilihan pertama anda untuk ke menara gading. UKM sentiasa terbuka luas dalam memberi peluang kepada anda untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Watan Kita,” katanya.