Naib Canselor Perkenal Tekad 18 dalam Memastikan ‘UKM Menjuarai’
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 5 April 2018 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali memperkenalkan Tekad 18 sebagai amanat kepada warga UKM bagi kemajuan dan pembangunan bersama.
Dalam syarahannya pada Majlis Bicara Perdana Naib Canselor baru-baru ini, beliau berkata 18 Tekad itu dirangka melalui enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) bagi memastikan UKM menjuarai.
“Kita adalah sebuah universiti yang hebat. Kita tidak ada pilihan selain dari menjuarai. Kita hebat dengan kesarjanaan… kita hebat dengan pelajar-pelajar kita. Kita perlu pastikan graduan kita adalah graduan yang di nanti-nanti dan dicari-cari oleh majikan. Ia bermaksud, kita menjuarai dalam menghasilkan graduan yang berbakat.
Sejauh mana hebatnya kita, sejauh mana terkehadapannya kita, sejauh mana kita menjuarai, jagan lupa amanah yang kita pikul kerana UKM adalah Pendaulat Amanah Negara,” katanya.
Beliau berkata, adalah mustahil UKM akan berjaya jika warganya tidak bersama.
Fakulti, institut, PTj (Pusat Tanggungjawab) perlu bersama dan perlu bersedia mencabar kelaziman. Kalau kita tidak bersedia mencabar kelaziman, kita perlu padam moto, visi dan misi UKM.
“Alhamdulillah… 48 tahun penubuhan UKM, kita dah mencabar terlalu banyak kelaziman dan mendorong kita menjadi universiti yang hebat dan menjurai,”jelas beliau.
Tekad 18 telah menggariskan tiga komponen dalam setiap KRA universiti.