Negara Perlu Tapis Internet – KP Penerangan

mention1

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Okt 2015 – Malaysia perlu melaksanakan sekatan dalam proses penggunaan internet dan media sosial (media baharu).

Walaupun banyak kesan positif berhubung media baharu, tetapi ia telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak, kata Ketua Pengarah Penerangan, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman..

“Dengan latar belakang yang bertentangan inilah negara-negara lain termasuk Malaysia perlu melaksanakan sekatan ke atas media baharu,” katanya pada majlis Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi (MENTION) 2015, di sini pada 5 Oktober.

Menurut beliau, bagi menaikkan reputasi media dan komunikasi di Malaysia, pengamal media perlu memastikan kandungan media dan komunikasi relevan dan mengikut pembangunan semasa,

Katanya semua organisasi media perlu mengutamakan aspek positif negara seperti menerapkan semangat perpaduan serta interaksi yang baik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ini akan dapat memberi kebaikan kepada negara memandangkan ia mampu menjadi pemangkin bagi mencapai matlamat pada masa hadapan kerana media sosial juga mempunyai peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat terutamanya dalam membina semangat kenegaraan,” tegas beliau.

Beliau berkata penyediaan platform yang sesuai untuk media sosial adalah penting bagi membetulkan persepsi terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Komunikasi sekarang dan dahulu adalah berbeza. Saluran media yang lebih canggih dan meluas telah mempengaruhinya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali bekata MENTION 2015 dengan tema Globalisasi Media dan Transformasi Negara: Realiti, Cabaran dan Aspirasi bertujuan membina kolaborasi dan mewujudkan satu rangkaian kesarjanaan dan kepakaran ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan dalam kalangan ahli akademik dan industri.

Katanya, kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan dua hari itu meliputi pandangan dari sub tema di bawah kajian media dan komunikasi yang terdiri daripada komunikasi pembangunan, kajian media baru, komunikasi kesihatan, informasi dan teknologi komunikasi (ICT) dan pembangunan, media sosial dan sub budaya, tetapi ia tidak terhad kepada kelompok media dan komunikasi sahaja.

Persidangan dwi tahunan itu adalah anjuran Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.
ukmnewsportal-bm

mention2