OKU Berpeluang Berlari Dalam ASEAN Unity Run


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

LANGKAWI, 20 Ogos 2018 – ASEAN Unity Run 2018 yang diadakan bersempena dengan Program Sukarelawanan Belia ASEAN 2018 (AYVP) di Langkawi buat pertama kalinya telah memberi peluang kepada orang kurang upaya (OKU) untuk berlari dalam menjalani gaya hidup sihat.

Peserta OKU, Mohd Afzairihisyam Mohd Asri yang mengalami kecacatan pada kaki berkata, itu adalah pertama kali beliau menyertai acara larian.

“Sebelum ini saya hanya menyertai acara berbasikal sahaja kerana di Langkawi masih belum ada larian yang terbuka kepada golongan OKU.  Apabila saya melihat iklan larian ini di media sosial, saya terus mendaftar kerana ingin cuba berlari walaupun saya mengalami kecatatan pada kaki. Alhamdulillah, saya dapat menghabiskan larian ini dengan jayanya,” katanya yang berkerja di sebuah sekolah di sini.

Beliau berkata larian tersebut sangat unik kerana dikelilingi persekitaran yang hijau dan mendamaikan.

Selain penyertaan dari golongan OKU, dewasa dan kanak-kanak, larian tersebut juga turut menarik perhatian warga emas.

Kamary Mohd Bakry, 66, sanggup datang dari Klang, Selangor bersama anak-anaknya untuk menyertai larian ini.

“Ini adalah pertama kali saya menyertai larian di Langkawi. Saya sanggup turun dari Klang bersama anak-anak untuk menyertai larian di sini dan ia memang tidak mengecewakan,” katanya.

Katanya, sebelum ini beliau selalu menyertai larian di Lembah Klang, tetapi larian-larian itu semuanya di jalan raya dan persekitaran bandar.

ASEAN Unity Run ini sangat unik kerana treknya adalah berbukit dan peserta perlu merentasi denai geopark yang mendamaikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komuniti Trasformasi Universiti (UCTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkat,a larian yang diadakan itu adalah sangat unik kerana untuk pertama kalinya diadakan larian perpaduan untuk kategori OKU.

“Kita adakan kategori OKU untuk larian tersebut bagi memberi peluang golongan itu berlari dan menjalani gaya hidup sihat.

“Saya rasa gembira kerana golongan ini dapat menghabiskan larian tersebut dengan jayanya dengan jarak 3 kilometer,” katanya.

Beliau berkata larian itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran melalui warisan semulajadi dan kerana itulah trek larian tersebut adalah dalam geopark.

Lebih 600 peserta telah mengambil bahagian dalam ASEAN Unity Run termasuklah peserta dari Hong Kong, Thailand dan Singapura.

Turut meyertai larian tersebut ialah Timbalan Naib Canselor – TNC (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan  TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Roslee Rajikan dan Pengurus Seksyen Pembangunan Pelancongan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Razaidi Abd Rahim.