Orang Melayu Yang Terawal Amalkan Pertanian Di Tanah Sunda
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Izwan Azman
BANGI, 13 Mei 2015 – Penyelidikan oleh pakar arkeologi pra-sejarah dunia menunjukkan orang Melayu adalah manusia yang terawal menanam padi dan menjinakkan binatang untuk dipelihara di benua Sunda, semenanjung besar yang tenggelam yang kini membentuk Laut Jawa, Melaka dan Selat Sunda, serta kepulauan di antara kawasan tersebut.
Yang Di Pertua Ikatan Arkeologi Malaysia (IAAM) Prof Emiritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata ini berlaku 10,000 hingga 14,000 tahun yang lalu.
Ketika merasmikan Seminar Asal-Usul Melayu Dan Kelangsungan Kerajaan Melayu Di Asia Tenggara yang dianjurkan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di sini pada April 15 lalu, Prof Nik Hassan Shuhaimi berkata kaum yang dikenali sebagai Melayu Polenesia inilah membentukkan kerajaan-kerajaan awal yang meminjam budaya dari India.
Menurut beliau, antara kerajaan yang wujud pada masa lampau adalah Funan, Champa, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan Melaka.
Prof Nik Hassan Shuhaimi, yang merupakan pakar arkeologi, menegaskan sejarah mesti dilihat daripada sudut pandang budaya supaya tidak menimbulkan bias, kerana sering terjadinya kesilapan dalam memahami sejarah bila dipandang dari sisi politik.
Beliau menerangkan sumbangan tamadun Melayu bukan sahaja kepada alam Melayu tetapi juga kepada peradaban dunia.
Katanya tamadun membawa makna yang luas kerana ia merangkumi peradaban manusia dalam pelbagai aspek termasuk budaya sosial, bahasa, ekonomi, sains dan teknologi ketenteraan serta hubungan antara bangsa.
Hasil penyelidikan beberapa pakar sejarah mendapati pembentukan bangsa Melayu berasal dari benua Sunda.
Beliau berkata pengecilan daratan yang membentuk kepulauan akibat kenaikan arus air laut membolehkan orang mencipta perahu dan layar serta menerokai seluruh pelosok benua Melayu ini.
Seminar anjuran ATMA dan kumpulan penyelidikan kebudayaan kesenian dan warisan menarik perhatian pakar-pakar sejarah dan budaya diantaranya Prof Emiritus Dato Dr Wan Hashim Wan Teh, Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli serta Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin.
Sementara itu, Penyelidik sejarah dan penulis IAAM, Zaharah Sulaiman berkata pembentukan bangsa Melayu bermula daripada nenek moyang Orang Asli Asal yang berlabuh di benua Sunda lebih 60,000 tahun lalu.
Menurut Zaharah kajian tersebut terbukti berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dijalankan terhadap Orang Asli dengan tulang-tulang manusia prasejarah.
Katanya, bangsa Melayu semakin berkembang apabila berlakunya aktiviti merantau dan penghijrahan yang seterusnya membentuk beberapa suku kaum etnik komposisi Melayu Proto serta Orang Asli Asia Tenggara.