Pakar Linguistik UKM Menang Hadiah Utama Makalah Terbaik
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto: Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI)
PUTRAJAYA, 22 April 2016 – Dua pakar Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Mohd Romzi Ramli, muncul sebagai pemenang Hadiah Utama bagi makalah jurnal terbaik kategori Sains Sosial dan Kemanusiaan di Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) 2015 Kementerian Pengajian Tinggi, di sini hari ini.
Dr Fazal, seorang pakar Linguistik yang mengkhususi bidang Sintaksis, berkata ini adalah kali pertama mereka menghantar makalah mereka kepada MAPIM untuk dinilai.
Makalah yang bertajuk Ganti Nama Bahasa Mendriq: Analisis Program Minimalis berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,600.
Minat Dr Fazal untuk menyelidik mengenai suku kaum Orang Asli Mendriq timbul kerana khuatir yang bahasa dan cara hidup mereka semakin pupus.
“Masih belum banyak kajian yang dilakukan ke atas budaya dan Bahasa suku kaum Mendriq,” kata Dr Fazal.
Sementara itu, UKM turut menerima dua hadiah saguhati bernilai RM4,000 bagi kategori Sains, Teknologi dan Perubatan melalui buku bertajuk Hidrogen Kesan Prestasi Enjin Pencemaran dan Kos Kitaran Hayat yang dihasilkan oleh Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Dr Halim Razali, Pengarah SERI Prof Datuk Dr Kamaruzzaman Sopian dan Felo Penyelidik Utama Prof Dr Sohif Mat
Prof Dr Nur Hamiza Adenan dan Prof Dr Mohd Salmi Noorani dari Fakulti Sains dan Teknologi, pula memenangi saguhati sebanyak RM 1,000 melalui makalah yang bertajuk Peramalan Data Siri Masa Aliran Sungai Dataran Banjir dengan menggunakan Pendekatan Kalut.
Anugerah dan hadiah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.