Pakar Neurologis Muda UKM Menjadi Rakyat Malaysia Pertama Terpilih Sertai WSO FLP

 

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 2 Disember 2020 – Pakar Neurologis muda dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Asyraf Wan Zaidi telah terpilih sebagai rakyat Malaysia pertama yang diterima dalam Program Pemimpin Masa Depan Bagi Penyakit Strok, Pertubuhan Strok Sedunia (WSO FLP).

Dr Wan Asyraf, yang merupakan Pensyarah Fakulti Perubatan, HCTM UKM dan Naib Pengerusi Majlis Strok Malaysia (MSM) adalah salah seorang daripada 32 calon yang terpilih daripada 113 permohonan yang diterima oleh WSO.

Pengalaman beliau sebagai penyelidik utama negara bagi beberapa penyelidikan klinikal di pelbagai pusat perubatan di Malaysia, menjadi antara faktor beliau memenuhi syarat WSO FLP sekali gus dipilih menyertai program berkenaan.

Selain itu, katanya, UKM yang mempunyai struktur yang bagus dari segi rawatan strok dan menjadi antara hospital perawatan strok yang terkehadapan menyebabkan beliau berpeluang untuk mengikuti program tersebut.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan di HCTM, UKM, MSC dan keluarag yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

Dr Wan Asyraf yang juga merupakan alumni UKM berharap dengan penglibatannya dalam program itu, bersama dengan pakar antarabangsa dalam bidang strok, beliau akan dapat mengembangkan sistem yang lebih baik dan memberikan perawatan berkualiti tinggi yang terbaik untuk pesakit strok di rantau ASEAN, Malaysia dan khususnya di HCTM.

“Saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan mentor dan rakan sekerja yang lain. Ini bukan program fellowship, tetapi ia lebih daripada itu, seperti berkongsi pengalaman dan kepakaran serta penyelidikan dalam rawatan strok,” katanya.

Program WSO FLP selama dua tahun itu membolehkannya terlibat dalam perbincangan menyeluruh dan pelbagai disiplin mengenai pencegahan, kesedaran, rawatan dan perancangan pemulihan penyakit strok.

Selain itu, ia juga bukan hanya melengkapkan pengetahuan petugas perubatan dan kesihatan, dan juga penyelidik dalam penyakit strok, malah dapat mendedahkan calon pilihan dengan mendalam mengenai cabaran utama penyakit ini dan bagaimana ia dapat ditangani melalui sistem perawatan strok yang pelbagai.

WSO FLP adalah satu program yang julung kali diadakan dan merupakan inisiatif yang dijalankan secara global bagi memperlengkapkan kerjaya petugas perubatan, pengajar dan penyelidik perubatan dengan ilmu dan cabaran masa kini berkaitan penjagaan dan penyakit strok.