Pakar UKM Bersetuju Dengan Saranan Kerajaan Dalam Membendung Covid-19 di Malaysia
Oleh Mas Aliza Abu
Foto Muhammad Izwan Azman
Bangi, 23 Disember 2020 – Saranan kerajaan yang giat membendung penularan Covid-19 mendapat sokongan panel UKM dalam webinar bertajuk Bicara Penyelidikan Kawalan Pandemik COVID-19: Perspektif Sains Perubatan dan Islam yang diadakan baru-baru ini.
Webinar yang dianjurkan oleh Pusat IDEA UKM itu disampaikan oleh empat pakar yang mewakili bidang sains, perubatan, agama, dan psikologi.
Pakar Fiqh Fatwa, Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Prof. Madya Dato’ Dr. Izhar Ariff menegaskan, Islam adalah agama yang universal dan sentiasa menyokong ijtihad iaitu penyelidikan mendalam yang dilakukan oleh ahlinya bagi mengelakkan kemudaratan kepada manusia.
“Ijtihad yang dilakukan oleh pakar-pakar dalam bidang perubatan dan farmaseutikal adalah sebahagian daripada amalan agama Islam. Orang awam hendaklah meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang membuat keputusan, para pakar perubatan dalam membuat kajian, dan para mufti yang menetapkan fatwa,” ujar beliau.
Menyokong pernyataan ini, Perunding Mikrobiologi Prof. Madya Datin Dr. Noor Zetti Zainol Rashid berkata, walaupun keberkesanan vaksin sebanyak 95% namun umat Islam tetap risau dengan kandungan bahan yang ada dalam vaksin.
“Terdapat vaksin yang menggunakan bahan seperti adjuvant yang meningkatkan tindak balas imun, bahan pengawet, bahan penstabil, bahan pencair, dan residual iaitu bahan yang tertinggal. Penggunaan unsur tidak halal iaitu enzim haiwan seperti khinzir sememangnya ada digunakan dalam sesetengah vaksin.
Semasa proses pemurnian dijalankan, penyingkiran unsur terbabit berlaku pada tahap rendah sehingga boleh dianggap tiada lagi kandungan bahan tersebut yang tertinggal. Status vaksin adalah berbeza mengikut jenis. Kaedah penghasilannya perlu diteliti sebelum diputuskan,” sambungnya.
Pakar Psikologi Personaliti, Prof. Dr. Khairul Anwar @ Johari Mastor dalam kajiannya mendapati tahap pematuhan jemaah adalah di bawah 75%.
Dalam kajian yang lain beliau juga mendapati amalan berdoa yang diikuti dengan sikap yang betul membantu seseorang individu dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Sekiranya sesorang itu melihat peranannya dalam masyarakat dan sebagai individu dalam menyumbang kepada kesejahteraan manusia, kepatuhan terhadap SOP ini pasti dapat ditingkatkan,” ujar Prof. Dr. Khairul Anwar.
Pakar Epedemiologi, Prof. Madya Dr. Rohaizat Hassan menyokong bahawa ketidakpatuhan ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut berlaku di seluruh dunia. Beliau menambah perkara ini didorong oleh satu keadaan yang dipanggil sebagai kelesuan pandemik atau pandemic fatigue.
“Kelesuan pandemik menyebabkan motivasi rakyat untuk mematuhi SOP semakin menurun. Ada yang merasa bosan memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat awam dan tidak mengimbas kod sebelum memasuki mana-mana premis,” katanya.
Keempat-empat pakar ini menjawab kebimbangan orang ramai terhadap pelbagai perkara yang berkaitan dengan Covid-19 dalam bidang sains perubatan, agama dan psikologi yang digabungkan di bawah Webinar anjuran Pusat IDEA UKM bertajuk Bicara Penyelidikan Kawalan Pandemik COVID-19: Perspektif Sains Perubatan dan Islam.