Pameran Seni Islam Promosikan Warisan Budaya dan Sejarah Uzbekistan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 16 Jun 2021 – Pameran Seni Islam yang dianjurkan secara dalam talian melalui kerjasama UKM dan Imam Bukhari International Scientific Research Centre baru-baru ini disifatkan menjadi pelantar terbaik untuk mempromosikan warisan budaya dan sejarah Uzbekistan selain mengungkapkan nilai-nilai sebenar agama Islam.

Pameran Seni Islam itu juga berilhamkan hadis-hadis yang dikumpul oleh ulama hadis terkemuka dalam dunia Islam, Imam Al-Bukhari, dan dipamerkan melalui Program Virtual Tour to Bukhari: Islamic Art Exhibition.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof. Dr. Fariza Md Sham berkata, kerjasama penganjuran program itu adalah langkah pertama untuk membangunkan jaringan kerjasama kedua-dua institusi berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman yang diadakan pada bulan Mac lepas.

“Hubungan antara kedua-dua negara tidak hanya bermula secara fizikal tetapi juga melalui penyebaran pengetahuan kerana di situlah umat Islam di Malaysia mengenali para cendekiawan besar dari Uzbekistan terutama Imam Bukhari.

“Kita telah diperkenalkan dengan Imam Bukhari melalui sistem pendidikan dengan mempelajari hadis-hadisnya yang sering menjadi rujukan dan panduan di sekolah sehingga peringkat universiti.

Beliau menambah, koleksi hadis Imam Bukhari yang dikenali sebagai “Sahih ul-Bukhari” adalah buku kedua terpenting bagi umat Islam selepas Al-Quran.

Beliau berharap kerjasama itu dapat diteruskan dan sejarah gemilang para ilmuan Islam serta khazanah ilmu yang ditinggalkan terus diterokai dan dikaji untuk kegunaan generasi akan datang.

Sementara itu, Pengarah International Research Centre Imam Bukhari, Dr. Shovosil Ziyodov berkata, pameran seni yang diadakan secara maya itu sangat penting bagi menonjolkan seni Islam yang mempunyai sejarah yang panjang di seluruh dunia Islam.

“Kita harus menjaganya dan meneruskan warisan ini untuk generasi akan datang.

Oleh kerana seni khat dan seni bina terus ada hingga ke hari ini, kesenian ini perlu dikembangkan melalui cara penyampaian kepada pelajar,” katanya. Pameran kesenian Islam secara maya itu telah menghimpunkan penggiat seni terkenal Uzbakestan seperti Davlat Toshev, Kamoliddin Abdullaev, Sheikha Abdullaeva, Yokub Beknazarov dan Mukhiddin A Lee.

Antara penganjur lain yang turut sama dalam pameran itu ialah Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, Imam Bukhari International Scientific Research Centre under the Cabinet of Ministers of Uzbekistan the Dacore IT LLC, the University of Leicester; United Kingdom dan Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).