Pandemik Covid-19 Tidak Melumpuhkan AirAsia
Oleh Farah A’lia Abdul Manan
BANGI, 19 Jun 2021- Krisis ekonomi yang melanda industri penerbangan akibat pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 tidak melumpuhkan semangat syarikat penerbangan AirAsia untuk terus bertahan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata sedemikian semasa menjadi panel bagi Program Communication and Organizational Change Across Culture yang dianjurkan Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION), UKM baru-baru ini.
Beliau menjelaskan hanya dua buah kapal terbang sahaja yang beroperasi berbanding 245 buah kapal terbang yang ada.
“Sebagai pemimpin saya tidak boleh berputus asa memikirkan pekerja, jenama dan komuniti yang dibina bersama syarikat ini.”
Beliau berharap keadaan akan kembali normal dan sektor penerbangan dapat dibuka semula bagi perjalanan rentas negeri dan sempadan antarabangsa pada tahun hadapan.
“Saya menjangkakan sekitar September atau Oktober industri penerbangan akan beransur pulih dan dapat melihat pembukaan semula secara berperingkat perjalanan rentas negeri dan antarabangsa,” katanya.
Selain sektor penerbangan, AirAsia juga kini giat menyusun semula perniagaan dengan menubuhkan perniagaan logistik.
“AirAsia akan kembali kuat dan kukuh dengan penyusunan semula perniagaan melalui perniagaan logistik seperti servis penghantaran makanan dan bank digital,” katanya.
Beliau yang juga merupakan alumni UKM tidak melepaskan peluang memberikan nasihat dan inspirasi kepada para pelajar UKM supaya tidak mudah berputus asa dan mensia-siakan masa muda mereka.
“Saya berharap pelajar UKM mampu menghasilkan perubahan dan setiap pekerjaan perlu dilakukan sehabis baik,” katanya.
Webinar yang berlangsung melalui aplikasi Zoom dan Facebook itu turut dihadiri oleh ahli panel jemputan dari dalam dan luar negara iaitu Bekas Duta Besar Malaysia di Peru dan Ukraine, Datuk Ayauf Bachi; Kaunselor Kedutaan Malaysia di Turki, Arhah Shah Anuar serta Setiausaha Agung United Cities and Local Governments Asia- Pacific (UCLG-ASPAC), Dr Bernadia Irawati Tjandradewi dari Indonesia.