Pantun Perlu Dipulihara Sepanjang Masa
Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 10 Oktober 2017 – Pantun sebuah nukilan indah yang mempunyai rima tersendiri wajar diguna pakai pada tempatnya dan tidak sebarangan digunakan supaya nilainya tetap kekal asli dan indah.
Selain itu, sipemakai wajar menggunakan bersesuaian dengan waktu-waktu tertentu seperti majlis pertunangan, persandingan dan majlis-majlis yang sesuai.
Perkara ini dijelaskan oleh Dr Noriah Mohamed ketika mengulas wacana bertajuk Pantun Akal Budi Melayu : Seni Tradisi Lisan Dalam Persembahan yang diadakan pada 2 Oktober lalu di Bilik Majlis, Bangunan Canselori.
Katanya, seni pantun Melayu warisan turun-temurun adalah satu bentuk indah perlu diwarisi khususnya oleh generasi muda supaya tetap menjadi bahan penting negara.
“Saya yakin usaha yang dilakukan oleh ATMA UKM ini adalah wajar dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa sebagai bahan sejarah yang tidak luput ditelah zaman,” katanya.
Sementara itu seorang lagi budayawan dari Negara Singapura, Djamal Tukimin berkata, pantun masih diguna pakai oleh penduduk Melayu di negaranya khususnya generasi muda dalam majlis-majlis tertentu.
Katanya, pemerintah Singapura juga menyokong pengekalan penggunaan pantun malah memberikan dana kewangan untuk mengekalkan pemuliharaan seni pantun ini.
Beliau yakin, pantun yang mempunyai nilai estetika ini akan terus digarap, dipulihara dan dimurnikan dari semasa ke semasa walaupun teknologi kini semakin pesat dan berkembang.