Parlimen Mahasiswa Medan Terbaik Bela Kebajikan Pelajar

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Dis 2015 – Parlimen Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysai (UKM) yang menghimpunkan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Yang Dipertua Persatuan dan Ketua Eksekutif Kolej Kediaman adalah medan terbaik untuk menyuarakan hasrat dan membela kebajikan pelajar UKM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata pihak pengurusan universiti memerlukan bantuan dan kerjasama daripada pemimpin pelajar untuk menjadi mata dan telinga pihak pengurusan dalam usaha menyampaikan maklumat dan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap pelajar.

“Saya berharap agar pemimpin pelajar yang ada di sini akan terus cemerlang dan beriltizam menjadi mahasiswa seimbang dalam sahsiah dan akademik kerana kelulusan akademik adalah penting.

“Tetapi dengan penglibatan anda dalam Parlimen Mahasiswa ini, ia akan menjadi nilai tambah yang memberi anda pengalaman yang sangat penting. Dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun akan datang, mungkin anda akan berada di Parlimen Malaysia yang mewakili masyarakat dalam bahagian masing-masing,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Parlimen Mahasiswa UKM, di sini pada 4 Dis lepas.

Beliau berkata dalam menghadapi cabaran untuk terus berdaya saing diperingkat kebangsaan dan antarabangsa, disamping menjadi pendaulat Amanah Negara, seluruh warga UKM termasuk para pelajar diharap dapat bersama-sama melaksanakan amanah itu.

“Sebagai pemimpin pelajar, ini adalah masa untuk anda merebut segala peluang dan menguasai ilmu terkini, berketerampilan, kompeten dan holistik sebagai persediaan menghadapi pasaran pekerjaan,” ujar beliau.

Katanya, beliau melihat bahawa Parlimen Mahasiswa adalah platform latihan pertama untuk pemimpin pelajar menjadi pemimpin kepada masyarakat apabila keluar dari universiti kelak.

“Setiap pemimpin ada tanggungjawab dan saya berharap anda yang berada di sini, apabila melaksanakan program di peringkat universiti adalah lebih baik jika program itu mempunyai impak bukan sahaja untuk diri mahasiswa sahaja tetapi juga kepada masyarakat di sekeliling kita.

“Saya juga berharap agar semua pemimpin pelajar dapat berkhidmat dan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah,” katanya.

Katanya platform itu adalah satu peluang dan ruang yang sangat penting untuk semua pemimpin pelajar menyuarakan rasa hati pelajar yang diwakili dengan membawa perkara-perkara tersebut dalam perbincangan dan disusun dengan baik supaya ia boleh disampaikan kepada pengurusan universiti.ukmnewsportal-bm
02

03

04

05