Pasangan Kembar Antara 7,021 Graduan yang Bergraduasi di UKM
Oleh Nur Inaara Aznan
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 14 November 2018 – Dua pasang pasangan kembar adalah antara 7,021 graduan yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-46 baru-baru ini.
Mereka ialah pasangan kembar Nuramalina Mohd Rosman dan Nuramaliya Mohd Rosman serta V.K. Giri Raaj a/l V. Kumaransundarajan dan V.K. Hari Raaj.
Nuramalina dan Nuramaliya adalah graduan dari Fakulti Pengajian Islam manakala V.K. Giri Raaj dan V.K. Hari Raaj adalah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).
Bercerita tentang kejayaan mereka, Nuramalina berkata beliau terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian di Jordan kerana kekangan kewangan.
“Dalam masa yang sama, saya juga menerima tawaran dari UKM bersama Nuramaliya. Jadi, saya membuat keputusan untuk sama-sama belajar di sini bagi mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya.
Beliau dan Nuramaliya adalah pelajar yang aktif. Mereka sama-sama terlibat dengan pelbagai aktiviti luar kampus.
“Kami sama-sama terlibat dengan program Mobiliti Jordan dan beberapa aktiviti lain seperti sukan, seni dan kepimpinan.
“Jadi, kami perlu pandai membahagikan masa antara akademik dan aktivti luar. Kami bukan dari keluarga yang senang. Jadi kami perlu mengumpul semangat dan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran agar cita-cita yang ditanam tercapai,” katanya.
Nuramalina adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah) manakala Nuramaliya adalah graduan ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah).
Sementara itu, sepasang lagi pasangan kembar V.K. Giri Raaj dan V.K. Hari Raaj terkejut apabila mereka sama-sama ditawarkan ke UKM.
“Kami tidak pernah berbincang untuk sama-sama belajar di sini (UKM), apatah lagi untuk belajar di fakulti dan kursus pengajian yang sama. Tidak sangka pula selepas keputusan UPU keluar, kami sama-sama mendapat tawaran pengajian di FSSK dalam jurusan Media dan Komunikasi,” kata Giri Raaj.
Katanya, beliau dan pasangan kembarnya memang sentiasa bersaiang sejak zaman kanak-kanak lagi dan itu yang mendorong mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
Hari Raaj seorang yang aktif dalam tarian kebudayaan dan sering menyertai pertandingan dan mengadakan persembahan kebudayaan di kampus.