Pasangan Kembar Antara yang Mendaftar di UKM
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman
BANGI, 29 Ogos 2016 – Pasangan kembar seiras, Abdul Rahman Bahtiar dan Abdul Rahim Bahtiar, 19, dari Raub, Pahang memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tempat menuntut ilmu bagi merealisasikan impian mereka menjadi usahawan berjaya suatu hari kelak.
Abdul Rahman yang merupakan abang berkata dia dan saudara kembarnya mempunyai cita-cita yang sama sejak kecil lagi.
“Kami memilih bidang keusahawanan kerana mahu meneruskan kerjaya bapa yang menjalankan perniagaan apam balik.
“:Selain saya dan kembar, kakak sulung juga adalah pelajar keusahawanan di Universiti Utara Malaysia,” katanya semasa sesi pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2016/2017 di kampus Bangi di sini semalam.
Beliau berkata kursus Keusahawanan dan Inovasi di UKM adalah pilihan pertama dan mereka bersyukur kerana impian untuk melanjutkan pengajian di UKM tercapai.
Adiknya, Abdul Rahim berkata UKM menjadi pilhan pertama kerana UKM adalah antara universiti terbaik di Malaysia.
“Bukan universiti lain tidak bagus, tetapi bagi kami kursus yang ditawarkan di UKM sangat berkualiti dan memenuhi kehendak kami sebagai pelajar,” katanya.
Ibu mereka, Hazlina Abdullah, 49, berkata beliau dan suaminya tidak pernah memaksa anak-anak dalam memilih bidang pengajian yang mereka minat.
“Kami sebagai ibu bapa sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak dalam mengejar impian mereka. Mereka mamang mempunyai minat saya sama dan mereka juga sentiasa melakukan aktiviti bersama,” katanya yang turut mempunyai sepasang anak kembar perempuan yang berumur 16 tahun.
Sementara itu, bagi alumni UKM, Almi Hidayah Mohamad Ardzi, 49, beliau tidak menyangka anak yang dikandungnya semasa melanjutkan pengajian di Fakulti Pendidikan pada tahun 1997, diterima melanjutkan pengajian di UKM.
“Nur Adlina Yusrina Yusoff adalah anak sulung saya. Semasa beliau dalam kandungan, saya masih lagi menuntut dalam tahun dua di sini,” katanya.
Beliau berkata kejayaan anaknya sulungnya melanjutkan pengajian di UKM telah mengimbau kembali kenangannya sepanjang bergelar pelajar di sini.
“Ini adalah pilihan pertama anak saya dan dia sendiri yang memilih universiti ini. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana beliau telah terpilih antara ribuan pelajar yang mendaftar hari ini.
“Selepas ini saya akan melawat ke suluruh kampus dan tentu sekali ke Fakulti Pendidikan kerana di sana banyak tersimpan kenangan manis dan pahit sepanjang saya belajar di sini,” katanya yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar.
Nur Adlina Yusrina adalah pelajar tahun satu bagi Kurus Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.