Pelaburan Asing Tidak Menggugat Keutuhan Kedaulatan Negara


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Mac 2017 – Mana-mana pelaburan asing termasuk dari negara China adalah penting bagi menjana ekonomi Negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif III, Perancangan Strategik dan Pelaburan Ekosistem, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),  Dato’ Wan Hashim Wan Jusoh.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia bukan ingin berdagang dan menarik pelaburan dari China sahaja, tetapi juga dari negara lain berikutan daripada isu tidak kepastian berkenaan dengan perlantikan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat.

“Mengapa kita perlu menghabiskan tenaga dan masa dalam membicarakan tentang persepsi yang mengatakan pelaburan ini boleh menggugat kedaulatan negara jika ianya memberi keuntungan kepada ekonomi negara,” soalnya kepada media selepas Bicara Persada bertajuk Pelaburan China di Malaysia: Antara Pemacuan Ekonomi dengan Keutuhan Kedaulatan, di UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata rakyat tempatan perlu melihat isu pelaburan dan hubungan perdagangan dua hala dengan China secara objektif dan mengelak daripada menimbulkan spekulasi dan isu sensasi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata Malaysia telah menerima pelaburan dari China berjumlah RM21 bilion diikuti Amerika Syarikat, Singapura, Jepun dan negara-negara Eropah lain.

Katanya, angka-angka pelaburan tersebut menunjukkan satu pelaburan komited dari tahun ke tahun dengan jangkaan yang berjumlah RM100 bilion yang akan menjana peluang pekerjaan tempatan berjumlah 200 ribu pekerja tempatan.

“Jadi, persepsi yang mengatakan bahawa rakyat tempatan akan tergugat dengan pembangunan yang berlaku dengan kedatangan orang asing ini sebenarnya adalah sesuatu yang diuar-uarkan dan kita perlu percaya dengan undang-undang sedia ada dan perlaksanaannya yang jitu,” katanya.

Bicara Persada ke-33 turut membariskan dua lagi ahli panel iaitu Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof. Dr. Jamal Othman.