Pelajar ASEAN Perlu Bersedia Hadapi Cabaran
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 19 Januari 2015 – Siswa dari negara-negara anggota ASEAN perlu bersedia untuk menghadapi cabaran global apabila kumpulan itu menjadi suatu komuniti ekonomi bersepadu tahun ini.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menasihati mahasiswa dari universiti-universiti dalam ASEAN untuk bersedia menghadapi persaingan lebih hebat mulai tahun ini apabila kumpulan itu menjadi satu pasaran tunggal.
Berucap pada majlis pelancaran rangkaian Universiti ASEAN (AUN) ke-15, Forum Pendidikan dan Pertandingan Penceramah Muda ke-4 ASEAN + 3 di sini hari ini, Prof Noor Azlan berkata walaupun pertumbuhan ekonomi akan membawa kemakmuran, ia juga boleh merenggangkan lagi jurang perbedaan antara yang berada dengan yang tidak.
“Satu masalah pertumbuhan adalah wujudnya golongan yang akan ketinggalan,” katanya.
Pertandingan penceramah di Forum lapan hari itu bertajuk Membangun Komuniti Ekonomi Bersepadu ASEAN + 3: Isu Mengenai Kesaksamaan Gender, Kumpulan Minoriti dan Orang Kurang Upaya.
Sambil mengakui wujudnya tahap pembangunan ekonomi yang berbeza secara meluas antara negara-negara anggota, beliau bagaimanapun yakin jurang itu lambat laun akan berkurangan.
Kumpulan itu mungkin mengambil masa sehingga 50 tahun sebelum dapat mewujudkan satu mata wang yang seragam seperti terdapat di kalangan Komuniti Eropah,” katanya.
Salah satu aktiviti utama belia AUN, adalah forum itu yang dilancarkan pada tahun 1998. Ia bertujuan membina kesedaran mendalam terhadap ASEAN di kalangan pemimpin-pemimpin masa hadapan rantau ini dan rakan dialognya: China, Jepun dan Korea Selatan.
Forum itu adalah juga suatu platform bagi belia ASEAN + 3 untuk menyatakan hasrat dan persepsi mereka terhadap rantau ini.
AUN adalah suatu persatuan universiti Asia, yang mula diasaskan pada November 1995 oleh negara-negara anggota ASEAN terdiri dari 13 buah universiti. Apabila ASEAN diluaskan melalui Piagamnya pada tahun 1997 dan 1999, keahlian AUN juga telah diperbesarkan untuk merangkumi Jepun, China dan Korea Selatan.
Timbalan Pengarah Eksekutif AUN Dr Choltis Dirathiti, Timbalan-Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Dr Hazita Azman, Timbalan-timbalan Dekan Prof Madya Dr Noraini Ibrahim (Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali (Siswazah dan Antarabangsa) turut hadir di upacara itu.