Pelajar Baharu perlu Teroka Bidang Keusahawanan


By Alyani Azhar
Foto Izwan Azman

BANGI, 5 September 2017 – Pelajar-pelajar yang baru mendaftar sebagai pelajar universiti perlu menerokai bidang keusahawanan selain memberi tumpuan kepada bidang pengajian yang ditawarkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata keusahawanan adalah salah satu fokus agenda KPT pada masa sekarang.

“Saya berharap agar mereka (pelajar) akan menjadi usahawan yang berjaya pada masa depan, kerana keusahawanan adalah salah satu fokus agenda kementerian (KPT),” katanya semasa Program Minggu Mesra Mahasiswa Sesi Akademik-Domain Keusahawanan anjuran bersama UKM-CESMED dan Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) baru-baru ini.

Beliau berkata pihak KPT  percaya bahawa pada masa ini, mahasiswa perlu menyesuaikan pemikiran mereka dengan kriteria majikan atau organisasi.

“Kita (KPT) mengajar mereka (pelajar IPT) untuk menjadi mahasiswa yang berdikari dan mengetahui lebih mendalam atau belajar tentang keusahawanan,” katanya.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (TNC)  Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat; Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah, TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Dato’ Ghazi dan Pengarah UKM-CESMED, Prof Datin Dr Shamshubaridah Ramlee.