Pelajar INBIOSIS Raih Tempat Pertama Three Minutes Thesis UKM Competition
Oleh Nadia Sapuan
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 19 April 2017- Tesis penyelidikan tentang penyakit gangguan keseimbangan hormon pada wanita telah meraih kemenangan untuk pelajar tahun dua pascasiswazah dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Afiqah Aleng @Mohamad dalam Three Minutes Thesis UKM Competition (Gugusan Fakulti Sains dan Teknologi).
Nor Afiqah berkata tesis bertajuk Construction of Protein Network to Understand the Pathogenesis of Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) mengkaji tentang faktor terjadinya PCOS yang mempengaruhi atau mengganggu menstruasi dan menyebabkan wanita tidak dapat hamil.
“Penyelidikan ini masih diperingkat pertengahan, jadi kita masih belum mengetahui punca PCOS terjadi.
“Terdapat sedikit perbezaan kerana kajian dijalankan menggunakan pendekatan bioinformatik iaitu menggunakan komputer dalam menganalisis pelbagai data yang ada untuk mencari punca dan sebab PCOS terjadi dan sekaligus dapat membantu mencari penyelesaian bagi penghidap penyakit PCOS di luar sana,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zainal Abidin yang membentangkan tesis bertajuk Internal Control System for Shariah Compliance in Islamic Financial Institutions telah memenangi kategori Gugusan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, manakala Mohamed M.M. Aboras yang membentangkan tesis penyelidikan bertajuk Reutilisation of Remnants From Nano Zirconia Blanks For Dental Crown Applications telah memenangi kategori Gugusan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.
Ketiga-tiga mereka memenangi wang tunai berjumlah RM500 dan sijil penyertaan.
Mereka juga akan mewakili UKM ke peringkat nasional yang akan diadakan di Universiti Putra Malaysia tidak lama lagi.
Pengarah Eksekutif Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC), Mahaletchumy Arujanan berkata dalam menyampaikan sesebuah pembentangan khususnya pembentangan penyelidikan, kemahiran komunikasi adalah sangat penting untuk menarik juri dan penonton mendengar apa yang ingin disampaikan oleh pembentang.
“Saya faham memang sukar untuk anda meletakkan semua info penyelidikan anda yang dijalankan selama tiga tahun lebih ke dalam pembentangan hanya untuk tiga minit, tetapi itu semua tidak mustahil sekiranya anda membuat latihan berulang kali,” katanya.
Pertandingan tersebut dirasmikan oleh, Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dato’ Ir Dr Mohd. Marzuki Mustafa.
Seramai 18 peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah tahun dua dan ke atas program Doktor Falsafah UKM telah membentangkan tesis masing-masing pada pertandingan tersebut.