Pelajar Indonesia UKM Sumbang Makanan kepada Pekerja di Tapak Pembinaan
Oleh Wulandari
Foto oleh Mansurni Abadi dan Trisnawati Dewi
BANGI, 19 Mei 2020 – Atas keprihatinan dan peduli dengan keadaan semasa yang melanda negara, sekumpulan mahasiswa Indonesia pasca siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan membantu pekeja tapak pembinaan di Kajang dan Shah Alam yang terjejas pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.
Kumpulan mahasiswa dari Lombok itu telah memberi bantuan makanan untuk berbuka puasa kepada lebih dari 40 pekerja dari Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di rumah kongsi di tapak pembinaan di Kajang melalui projek tindakan sosial.
Seorang mahasiswa, Trisnawati Dewi berkata dia bersama lapan lagi rakannya mendapati pekerja di tapak binaan tersebut tidak mempunyai wang yang cukup dan kekurangan bekalan makanan kerana mereka hanya bergantung kepada bantuan pihak-pihak tertentu akibat dari PKP.
Jadi, mereka mengambil inisiatif dengan membantu secara berkala pekerja-pekerja yang terjejas dengan mengagihkan bekalan makanan berbuka puasa secara berperingkat di sekitar Sungai Tangkas dan Hentian Kajang.
Sementara itu, dalam aktiviti yang lain, dua orang mahasiswa UKM yang berasal dari Lampung, Indonesia telah bekerjasama dengan Kedutaan Besar Indonesia dan Pertubuhan Mahasiswa Muhamamdiyah, yang merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terbesar di Indonesia telah membantu mengagihkan makanan di sekitar Shah Alam.
Bantuan makanan yang diberikan adalah keperluan harian seperti beras, minyak masak, biskut, mi segera, susu dan gula.
Mansurni Abadi, mahasiswa UKM yang turut serta dalam bantuan tersebut berkata bantuan dari Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada bantuan berperingkat yang diagihkan berdasarkan data yang dikumpulkan oleh sukarelawan di akar umbi yang terdiri dari mahasiswa di Malaysia.
“Tindakan ambil peduli ini sudah tentu menjadi catatan positif mahasiswa UKM, tidak kira dari mana asal pertubuhannya (persatuan) dan negaranya. Memasuki usianya yang ke-50 tahun, UKM tidak hanya membentuk mahasiswa yang kuat dalam pengetahuan, namun mereka (mahasiswa) juga peduli dalam isu kemanusiaan,” katanya.
Selain itu, mahasiswa tersebut juga turut mengumpul derma secara terbuka bagi menolong pekerja kesihatan di Wilayah Nusa Tenggara Barat melalui perkongsian ilmu secara percuma berkenaan dengan pengajian mereka sepanjang di UKM melalui Webinar atas talian Zoom yang dijalankan pada 5 hingga 15 Mei 2020.