Pelajar Perlu ada ‘Kuasa Politik’ Jika Mahu Jadi Pemimpin – Menteri Mentor UKM

3
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 11 Ogos 2016 – Semua pelajar perlu ada ‘kuasa politik’ jika mahu menjadi pemimpin yang berjaya dan disegani, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata kuasa politik adalah penting bagi memastikan apa yang hendak dilakukan dapat dilaksanakan dengan mudah.

“Kalau kita tidak ada political power, kita akan ketinggalan,” katanya kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP), Universiti Kebangsaan Malaysia semasa majlis kunjungan hormat ke atas Menteri Mentor UKM di Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Beliau berkata para pelajar perlu mengambil peluang untuk menjadi pemimpin bagi melatih diri berhadapan dengan suasana sebenar selepas tamat belajar kelak.

“Tahniah kepada anda semua kerana telah mengambil peluang menjadi pemimpin di peringkat universiti. Kita kena ambil peluang ini untuk mengasah bakat kepimpinan yang kita ada,” katanya.

Datuk Johari berkata jika pelajar mendapat ijazah kelas pertama, tetapi tidak aktif dalam program universiti dan tidak mempunyai kualiti kepimpinan, maka pasaran untuk mendapatkan pekerjaan adalah kurang.

“Tetapi jika anda ada kelulusan dan mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang bagus, boleh bagi idea yang bernas dan berfikir diluar kotak, inilah yang kita panggil political power atau nilai tambah yang kita tak masukkan dalam sistem akademik.

“Anda perlu tanamkan sifat kesungguhan kerana anda akan gagal jika hanya sambil lewa dalam melakukan sesuatu perkara,” terangnya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya mempunyai impian jika mahu berjaya.

Dream (impian) bukan bermaksud angan-angan Mat Jenin tetapi dream ialah apabila kita menjadi pelajar dan belajar dalam satu-satu bidang, apakah dream kita? Apa sahaja bidang yang kita belajar mesti ada sasaran.

“Tidak semestinya anda belajar undang-undang, anda akan menjadi peguam, sebaliknya anda boleh memasang impian untuk menjadi usahawan,” katanya.

Katanya pelajar sendiri perlu kenal diri masing-masing apakah kecenderungan yang ada dalam diri.

“Tidak semua boleh menjadi pakar kewangan, bukan semua orang akan menjadi pakar dalam sesuatu bidang. Jadi, anda perlu ada nic dalam diri masing-masing,” tegasnya.

Seramai 29 MPP dan MEP hadir pada kunjungan tersebut bersama Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan semua Timbalan Naib Canselor.ukmnewsportal-bm
1

2