Pelajar Perlu Bersedia Memenuhi Tuntutan Pasaran Kerja – Dato’ Sri Ismail


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman dan
 Izwan Azman

BANGI, 21 April 2017 – Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan program universiti dapat membentuk dan menyediakan pelajar menjadi graduan yang memenuhi tuntutan pasaran kerja masa kini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Abd Mutallib.

Beliau berkata aktiviti kokurikulum dan program yang dianjurkan universiti menjadi pelengkap kepada kitaran pendidikan yang melibatkan domain intelektual dan menjadi saluran pembinaan jasmani, emosi dan rohani pelajar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian untuk Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan UKM 2017, baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau menasihatkan pelajar untuk tidak terlalu bergantung pada pihak universiti sebaliknya cuba untuk memahami sendiri tentang keperluan dan kehidupan sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Anda (pelajar) perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam bidang yang berkaitan, memahami dan merancang kerjaya yang ingin dituju serta langkah untuk anda meningkatkan kemahiran dan pencapaian anda dalam kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak UKM kerana telah berjaya mengadakan Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan UKM 2017 yang menjadi platform terbaik untuk pelajar UKM meneroka peluang pekerjaan dengan industri yang berkaitan.

“Saya berharap anda semua mendapat manfaat daripada program ini dan dalam masa yang sama menghargai kepercayaan yang ditunjukkan oleh industri yang hadir pada hari ini terhadap anda.

“Saya juga berharap agar program ini dapat melahirkan tenaga kerja yang mahir, berilmu dan berdaya saing dalam hubungan industri seperti yang digariskan oleh Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Program tersebut disertai hampir 60 agensi kerajaan dan industri dari luar.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Pengarah Pusat Pembangunan Karier (UKM-KARRIER), Prof Dr Ishak Yussof.