Pelajar PhD UKM Ketuai Badan Belia Kukuhkan Persahabatan Indonesia – Malaysia
Setiausaha Agung KNPI, Sirajuddin Abdul Wahab menyerahkan bendera KNPI sebagai simbolik pelantikan kepada Muhammad Yasar
Oleh: Muhammad Yasar, Pelajar PhD UKM
Foto : Abd Razak Hussin
JAKARTA, INDONESIA, 23 Okt 2015 – Pelajar PhD Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Muhammad Yasar dilantik sebagai Ketua Badan Perwakilan Komite Nasional Pemuda Indonesia (BP KNPI) menggantikan Dr Sagir Alva.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung Dewan Pimpinan Pusat (DPP) KNPI Sirajuddin Abdul Wahab pada bulan Ogos lalu.
KNPI organisasi belia yang diiktiraf kerajaan Indonesia setaraf Majlis Belia Malaysia (MBM).
Ia merupakan organisasi terbesar menghimpunkan 159 pertubuhan belia yang merangkumi pelbagai potensi belia berasaskan keagamaan, pelajar, politik, profesional, perniagaan dan sebagainya.
Penubuhan Badan Perwakilan BP KNPI Malaysia dilihat penting bagi menangani permasalahan bersama antara kedua-dua negara.
Diharapkan dengan adanya Badan Perwakilan ini hubungan belia tersebut lebih akrab dan mesra memandangkan mereka merupakan pemimpin masa hadapan.
BP KNPI di Malaysia merupakan Badan Perwakilan pertama KNPI di luar Indonesia.
Malaysia menjadi projek perintis pengembangan KNPI kerana di Indonesia terdapat ramai belia Indonesia dengan pelbagai latar seperti tenaga kerja, ekspatriat dan mahasiswa.
Malaysia juga merupakan negara pusat organisasi belia antarabangsa seperti Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), Asia Youth Centre (AYC) dan World Assembly of Youth (WAY), sehingga BP KNPI Malaysia diharap menjadi penghubung KNPI Pusat dengan organisasi-organisasi tersebut.
Anugerah KNPI 2015
Sempena pelantikan tersebut, KNPI Pusat juga menyampaikan lima anugerah KNPI 2015 kepada dua rakyat Malaysia dan tiga Indonesia yang dianggap berjasa dan menunjukkan komitmen tinggi bagi pemerkasaan belia dan hubungan harmoni Indonesia-Malaysia.
Anugerah ini merupakan pertama kali diberikan di luar negara dan diterima oleh warga negara asing. Anugerah serupa pernah diberikan kepada beberapa tokoh penting Indonesia seperti mantan Ketua Parlimen Indonesia dan Ketua Parti Golkar, Akbar Tanjung dan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi.
Dua penerima anugerah KNPI dari Malaysia adalah Mohamed Maliki Mohamed Rafiee, mantan Presiden MBM dan Dato’ Irmohizam Ibrahim, Ahli Parlimen dan Presiden Majlis Belia Selangor yang juga mantan pelajar PhD UKM.
Penerima dari Indonesia ialah Herman Prayitno (Duta Besar RI di Malaysia), Hermono (Timbalan Duta Besar RI di Malaysia) dan Freddy M. Panggabean (Ketua Bidang Koordinator Fungsi Politik, Kedutaan Indonesia di Malaysia).
Muhammad Yasar bergambar bersama setelah dilantik sebagai Ketua dan Pengurus BP KNPI Malaysia
Dato’ Irmohizam menerima Anugerah KNPI 2015