Pelajar Sekolah Bentang Prototaip Projek Penyelidikan STEM


Oleh Izzul Aniq
Gambar oleh Shahiddan Saidi

SEPANG, 16 Ogos 2018 – Seramai 32 pelajar dari tiga buah sekolah di Daerah Sepang telah membentangkan prototaip hasil projek penyelidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui program Mentor Menti UKM-JPNS: STEM-IoT 2018 baru-baru ini.

Pelajar-pelajar tersebut adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rawang, SMK Pantai Sepang Putra dan SMK Pelek.

Dalam pertandingan tersebut, peserta setiap kumpulan mempamerkan prototaip serta membentangkan hasil projek yang bertemakan STEM-IoT: Pertanian Bandar kepada para juri, ibu-bapa, barisan guru dan komuniti.

Program Mentor Menti UKM-JPNS: STEM-IoT adalah projek khas STEM bagi daerah Sepang yang dilaksanakan melalui Program Pemerkasaan Kompetensi Akademik Siswa (PKAS) Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB) Univeriti Kebangsaan Malaysia (UKM), di bawah Program Mentor-Menti STEM UKM dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Sepang.

Program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengalaman secara praktikal kepada pelajar dalam mengintegrasi pengetahuan STEM melalui kemahiran dan teknologi pendidikan abad ke-21.

Selain itu, STEM-IoT juga mengetengahkan konsep kemahiran berfikir aras tinggi melalui pelaksanaan projek yang bertemakan Pertanian Bandar.

Pensyarah Kanan FKAB, Dr Kalaivani Chellapan selaku Pengarah Program PKAS berkata, tema itu dipilih kerana beliau ingin mewujudkan teknologi dan kaedah pertanian yang lebih maju dan efesien.

“Tajuk ini akan dapat menyumbang ke arah pembangunan teknologi dengan menggunakan tenaga kerja yang lebih melalui STEM-IoT,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sains, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Ramlah Hassan berkata, program itu adalah baik buat pelajar kerana ia meningkatkan kemahiran berfikir.

“Kemahiran berfikir merupakan tunjang penting dalam pembelajaran pelajar dan usaha sebegini adalah selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan.

Katanya, kemahiran seperti memimpin, berinteraksi dwibahasa, etika dan rohani yang ditekankan dalam program terebut dapat memastikan para pelajar bersedia dengan keperluan  masa hadapan.

Dalam pertandingan tersebut, SMK Pantai Sepang telah dinobatkan sebagai Johan dan pasukan itu akan bekerjasama dengan FKAB dalam menjalankan projek selama empat minggu.

Pertandingan itu turut menyediakan anugerah khas seperti Anugerah Elektronik Terbaik, Anugerah Kemahiran Aplikasi Mudah Alih Terbaik, Anugerah Transformasi Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan STEM-IoT Terbaik.