Pelajar Siswazah UKM perlu Menjuarai
Oleh: Nastura Nasir
Foto: Ikhwan Hashim
BANGI, 11 Oktober – Pelajar siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harus menetapkan matlamat mereka seterusnya menjuarai penyelidikan dan memberi impak berguna kepada masyarakat dan dunia, kata Naib UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.
“Pelajar-pelajar siswazah perlu sentiasa dinamik dan mengikuti arus semasa supaya kekal relevan, selari dengan reputasi dan hasrat UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan tersohor di Malaysia,” katanya sewaktu sesi perkongsian ‘Payung Merah’ pada Hari Informasi Pascasiswazah (HIP) di Dewan Gemilang UKM, baru-baru ini.
Beliau turut menekankan bahawa istilah payung merah yang digunakan adalah simbol untuk menggalakkan pelajar menjadi berbeza dan lebih menyerlah berbanding orang lain.
“Anda dipilih kerana kita (universiti dan pelajar) bersama-sama mempunyai misi dalam menghadapi perjalanan ini. Melalui UKM, serlahkan diri anda dan bawa penyelidikan anda ke luar pada pemegang taruh, pembuat polisi serta badan-badan berkepentingan agar ia dapat dinikmati oleh masyarakat dan dunia” katanya.
Hadir sama di majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Dato’ Ir Dr. Marzuki Mustafa, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Prof Dr Andanastuti Muchtar.
HIP adalah hari meraikan pelajar pascasiswazah yang baru mendaftar bagi Semester Satu Sesi Akademik 2018-2019 di samping memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UKM.