Pelajar Tajaan JPA Perlu Berfikiran Lebih Kritis – KPPA


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 November 2021 – Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengubah cara pembelajaran dengan berfikiran lebih kritis, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata para pelajar tidak boleh hanya sekadar menggunakan mod terkini iaitu pembelajaran secara dalam talian tetapi mengambil sudut pandang yang lebih kritis (critical thinking) dan bersifat pemikiran masa hadapan (future thinking).

“Perubahan itu adalah bagi memastikan sasaran Teras Strategik 3: Transformasi Modal Insan di bawah Tonggak ke-4 Rangka Kerja Dasar Rancangan Malaysia Ke-12 dapat dicapai.

“Ini adalah kerana, apabila JPA membiayai pengajian para pelajar atau pegawai, fasa pembelajaran yang memakan masa tempoh dua hingga empat tahun memerlukan pelajar dan pegawai membawa pembaharuan dua hingga empat tahun akan datang dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Oleh itu, katanya para pelajar harus sentiasa peka dengan transformasi persekitaran yang mendambakan kecekapan pelajar mengakses data terkini, membina ketangkasan daya pemikiran, dan menggunakan kaedah analisis atau metodologi kajian yang terbaharu.

“Saya suka juga hendak menasihati para pelajar bahawa keupayaan menghadapi cabaran semasa belajar ini banyak bergantung kepada kekuatan jati diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku Koleksi Teks Ucapan & Coffee Table KPPA dan Sesi Town Hall bersama-sama Warga Universiti Awam (UA) dan Pelajar-Pelajar Tajaan JPA di Dewan Tun Abdul Razak UKM.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khairul Adib berkata secara psikologinya, pemilihan para pelajar juga diambil kira daripada sudut kestabilan emosi dan kekuatan daya usaha, bagi menempuh fasa pembelajaran yang berliku.

“Bak kata peribahasa, adat periuk berkerak, adat lesung berdedak yang bermaksud, tiap-tiap usaha memerlukan ketabahan dan kerajinan.

“Maka berusahalah dengan bermatlamat memperoleh keberkatan ilmu dan kejayaan di hujung jalan pengajian.

“Semoga dengan kejayaan yang cemerlang, para pelajar kelak akan menjadi aset yang berharga dalam perkhidmatan awam dan negara,” katanya.