Pelajar Tingkatan 4 Cipta Sistem Pemantau Parkir Untuk OKU
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Saiful Bahri Kamaruddin
BANGI, 27 Januari 2015 – Pemandu yang kurang upaya (OKU) sering menghadapi masalah mencari tempat parkir kereta kerana ruang yang dikhaskan untuk mereka biasanya diambil oleh pemandu bukan OKU walaupun ia adalah salah di sisi undang-undang.
Tetapi kini sekumpulan empat orang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dengan bantuan tiga orang mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya mencipta suatu Sistem Pemantau Parkir Untuk OKU.
Sistem itu memberi harapan dapat menjamin OKU mendapat tempat parkir yang dikhaskan kepada mereka.
Alat itu – yang dipamerkan di sini baru-baru ini sempena perayaan ulang tahun ke 30 FKAB – boleh membantu orang kurang upaya yang menghadapi masalah untuk meletak kereta di parkir awam.
Seorang dari empat pelajar itu, Ahmad Arif Zahrin Md. Tajuddin berkata sistem itu boleh mengimbas kod yang terdapat pada kad milik pemandu OKU yang berdaftar. Pemandu yang tidak mempunyai kod demikian yang cuba parkir di tempat khas OKU akan menerima amaran bunyi buzzer serta penggera yang akan mengarahkan pemandu berkenaan keluar dari tempat parkir tersebut.
Apabila tayar kereta bergolek atas alat pengesan tekanan atau ‘pressure pad’ yang diletak di atas tanah tempat parkir, pengimbas akan meminta kad OKU di imbas dan jika ia sah, isyarat pada lampu LED akan membenarkan kereta di parkir di situ. Kalau tidak, penggera akan bunyi menandakan kereta itu tidak boleh memasuki ruang khas tersebut.
Bunyi kuat buzzer dianggap sudah memadai menghalang orang yang tidak layak dari meletakkan kereta mereka di ruang terhad itu.
Pada masa ini parkir khas untuk OKU hanya mempunyai tanda ia dikhaskan kepada mereka tetapi ramai pemandu bukan OKU tidak mengendahkannya.
Pelajar-pelajar itu dibimbing oleh tiga orang mahasiswa tahun ke-3 FKAB dan seorang pensyarah yang menyertai program crystal@ukm, iaitu satu inisiatif untuk memupuk minda inovatif di kalangan pelajar sekolah menengah.
Ketua program tersebut Prof Madya Dr Hafizah Husain berkata kiranya setiap pelajar sekolah boleh mereka cipta satu projek yang dapat menyelesaikan satu masalah, tentunya banyak masalah harian boleh diselesaikan.
Dr Hafizah berkata pelajar itu hanya menggunakan peruntukan RM1,000 sahaja untuk membeli peranti dan alat gantian yang mudah didapati di kedai elektronik dan hobi.
Pencipta muda itu bagaimanapun belum mengemukakan permohonan untuk melindungi hak cipta mereka kerana ia akan makan masa lama dan memerlukan dana tambahan.