Pelajar UKM bangunkan Aplikasi JomBuka Bantu Peniaga Bazar Ramadan

 
Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 22 April 2020 – Bagi membantu peniaga yang terjejas kerana tidak dapat berniaga di bazar Ramadan tahun ini, sekumpulan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membangunkan aplikasi JomBuka Online Bazaar Ramadhan yang merupakan bazaar ramadan di alam maya.

Muhammad Hafiz Shaifull Naim, yang merupakan salah seorang yang terlibat dengan pembangunan aplikasi JomBuka berkata aplikasi itu adalah satu inovasi yang dilakukan bagi membantu golongan peniaga yang tertindas akibat bazar ramadan yang tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat tidak lagi dapat keluar jauh daripada rumah dan perlu menjarakkan hubungan sosial. Oleh itu, JomBuka telah membawa satu alternatif lain bagi peniaga bazar Ramadan untuk terus berniaga sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh memuat turun aplikasi digital JomBuka Online Bazaar Ramadhan di Apps Store dan Play Store secara percuma.

“JomBuka memberi peluang kepada peniaga baharu di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk mempromosikan perniagaan mereka dengan bayaran sewa RM1 sahaja sehari dan mampu memperoleh diskaun RM5 dengan sewaan selama 30 hari (RM25).

“Pengguna JomBuka sebagai pembeli pula dapat membeli barangan secara terus dengan peniaga tanpa ada bayaran terhadap JomBuka kerana aplikasi ini sebagai platform pencarian makanan sahaja,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata pihaknya juga akan berkolaborasi dengan sebuah persatuan penjaja besar di Malaysia serta jaringan ‘runner’ bagi melancarkan lagi kemudahan perniagaan digital itu.

“Kami berharap agar JomBuka dapat memberi peluang kepada peniaga berniaga seperti biasa dan menghidupkan semula jiwa Ramadan pada tahun ini,” katanya.