Pelajar UKM Berkolaborasi bersama MANTAP Hasilkan Lebih 26,000 PPE


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 22 Mei 2020 – Lebih 26,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE) telah dihasilkan oleh sekumpulan sukarelawan Universiti Keabngsaan Malaysia (UKM) yang terdiri daripada 25 pelajar pascasiswazah dan prasiswah yang tidak pulang ke kampung akibat penularan pendamik COVID-19.

Penghasilan PPE itu adalah kerjasama antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Alumni Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) dan KS Atelier yang digerakkan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jurucakap MANTAP, Bunyamin Abdul Manap berkata initiatif program itu adalah bagi membantu barisan hadapan yang sangat memerlukan PPE bagi mengendalikan kes COVID-19.

“Jadi, kita yang mewakili mahasiswa turun parlimen telah fokus kepada mahasiswa terutamanya mahasisiwa yang tidak dapat balik ke kampung masing-masing terutamanya mereka yang tinggal di kawasan zon merah atau mempunyai kekangan di kampung yang tak ada capaian internet untuk meneruskan pembelajaran online dan sebagainya.

“Jadi inisiatif untuk menjahit PPE ini secara tidak langsung dapat membantu barisan hadapan untuk menghadapi COVID-19 disamping mengurangkan rasa bosan mahasiswa yang tidak boleh keluar dari kampus,” katanya.

Beliau berkata, semua PPE yang dihasilkan iaitu tudung (head cover), baju (gown) dan sarung kasut (boots) diserahkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan juga petugas-petugas barisan hadapan di hospital lain dan klinik kesihatan yang memerlukan.

“Ia merupakan satu pencapaian yang amat mengagumkan oleh mahasiswa kita dimana mereka datang daripada pelbagai background, tetapi semangat mereka untuk menghasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan sangat dipuji. Inilah harapan kita untuk melihat mahasiswa membantu kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray berkata walaupun penularan COVID-19 makin terkawal, tetapi hospital masih lagi memerlukan sumbangan PPE daripada pihak NGO kerana pendamik ini masih belum berakhir.

“Kita juga turut membeli material (kain) dan memberi kepada NGO untuk dijahit. Material ini pada mulanya hampir habis dalam pasaran, tapi kita terus mencari dan apabila dapat (material), kita berikan kepada NGO untuk dijahit.

“Kita masih memerlukan PPE kerana kita menjangkakan virus ini akan berlarutan sehingga akhir tahun. Saya berharap agar kerjasaama dengan NGO dan institusi pengajian tinggi akan berterusan walaupiun kes COVID-19 semakin berkurang,” katanya.

Sukarelawan COVID-19 MANTAP juga turut disertai oleh pelajar mobiliti UKM dari Indonesia yang terkandas di negara ini sejak dua bulan yang lalu kerana pelaksanaan PKP.