Pelajar UKM Johor Bantu Ibu Tunggal Di Pasir Gudang Jadi Usahawan

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 17 November 2015 – Sekumpulan 14 mahasiswa/siswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menganggotai program Duta Jauhar Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) sedang membantu ibu tunggal dan remaja di Pasir Gudang, Johor, menjadi usahawan.

Seramai 35 ibu tunggal telah dikenal pasti untuk membenarkan pihak PERMAJ menubuhkan persatuan baru untuk mereka , kata ketua Duta Jauhar tersebut Muhammad Afdzal Bin Mohd Affandi.

Kata Afdzal Duta Jauhar PERMAJ menolong persatuan Ibu Tunggal Jauhar  (PITJ) menubuhkan syarikat perkongsian yang dinamakan IRIS ENTERPRISE untuk menjalani perniagaan menjual makanan dan kuih tradisional seperti kerepek.

Menurut beliau, ia sebahagian Program Projek Transformasi Ekonomi dan Modal Insan (TRANS EKO-MI) di Pasir Gudang, yang dilancarkan oleh Menteri Besar  Johor Dato’ Mohd Khaled Nordin pada 14 November lalu.

Projek Transformasi Ekonomi dan Modal Insan (TRANS EKO-MI) ini dilangsungkan dalam tempoh masa tujuh bulan daripada mulanya pelaksanaannya di rumah pangsa, iaitu 17 Mei hingga 31 Disember tahun 2015.

“Dengan kerjasama daripada pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang, kami berjaya memperoleh satu lot kedai untuk dijadikan ‘one-stop-centre’ kepada ibu tunggal untuk menjalankan perniagaan mereka, iaitu Pusat Komuniti Duta Jauhar,” tambah beliau.

Mereka dilantik oleh kerajaan negeri Johor melalui Yayasan pelajaran Johor bagi melaksanakan Program Duta jauhar 2.0 di daerah Pasir Gudang, yang tertumpu di kawasan rumah pangsa Taman Desa Rakyat.

Majlis ini adalah untuk memperkenalkan projek TransEko-MI yang dilaksanakan oleh kumpulan Duta Jauhar PERMAJ UKM yang diselia oleh Dr Norinsan Kamil Othman bagi mencapaikan agenda transformasi negeri Johor.

Matlamat utama projek ini adalah keusahawanan ibu tunggal dan pembangunan modal insan remaja yang sihat di kawasan berkenaan.

Ketika merasmikan program ini, Khaled memuji PERMAJ UKM kerana menyumbang kepada pembangunan semasa negeri tersebut.

Menurut Khaled mereka yang membantu masyarakat setempat dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan mempunyai rekod prestasi yang membanggakan.

“Justeru itu saya yakin setiap komuniti yang terlibat dan memanfaatkan projek ini mampu untuk membawa perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat dan negeri,” kata beliau.

Katanya setiap agensi kerajaan dan swasta juga perlu lebih bersifat terbuka dan memberi ruang kepada mahasiswa/siswi dalam mencadangkan idea dan cabaran baru bagi memastikan setiap projek tidak terhad kepada konsep lama.

Selain itu, majlis tersebut juga menganjurkan pelbagai acara untuk para penduduk tempatan, seperti pertandingan Futsal, peraduan mewarnai, pertandingan memasak dan forum perdana.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, On Jabbar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md Za’nal Misran.ukmnewsportal-bm
02

03

04